Tuntut penjelasan Lembaga Tabung Haji

HARAKAHDAILY | .

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menuntut penjelasan segera daripada Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH), YB Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung dua pucuk surat Gabenor Bank Negara Malaysia yang tersebar di media baru-baru ini.

Dua surat yang bertarikh 23 dan 25 Disember 2015 adalah mengenai kemerosotan kedudukan kritikal kewangan LTH yang berkemungkinan boleh menjejaskan dana dan harapan pendeposit untuk menunaikan haji.

Menurut surat yang ditujukan kepada Pengerusi LTH, Gabenor Bank Negara telah menyatakan bahawa pembayaran dividen dan bonus yang tidak berhemah sehingga mengakibatkan kedudukan paras rezab yang negatif akan mendedahkan institusi dana umat Islam ini berhadapan dengan risiko yang besar.

Hal ini mesti dipulihkan bagi mengelakkan pasaran kewangan yang berkaitan akan turut terjejas termasuk kewangan negara yang menjamin keseluruhan dana pendeposit.

PAS juga memandang serius tahap risiko yang dilaporkan oleh BNM kerana ia melibatkan sejumlah besar dana umat Islam di negara ini.

PAS menggesa agar pihak pengurusan LTH segera mengambil saranan-saranan yang telah dicadangkan oleh BNM terutamanya dengan melantik atau lebih sesuai menggantikan ahli-ahli lembaga pengarah yang berkompetensi tinggi dalam hal ehwal kewangan dan operasi LTH.

PAS juga meminta agar keseluruhan operasi komersial LTH disemak semula supaya lebih efisyen dan terkawal.

Rentetan itu, Pengerusi LTH mesti tampil menjelaskan status 2 surat berkenaan yang telah tersebar di media sama ada benar atau pun palsu.

Sekiranya benar, beberapa langkah drastik mesti segera perlu diambil bagi memulihkan keyakinan pendeposit dan kedudukan kewangan Tabung Haji.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
16 Rabiul Akhir 1437 / 26 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 26/1/2016

Share on Myspace