Sidang khas TPPA: PM tetap akan tandatangani?

HARAKAHDAILY | .

BERMULA 26-27 Januari, Parlimen bersidang khas untuk berbahas mengenai TPPA. Ini adalah salah satu syarat yang perlu dilalui untuk menandatangani TPPA.

Pada hakikatnya perbahasan di parlimen hanya menjadi akademik, kerana kerajaan nampaknya beria-ia benar mahu menandatangani TPPA walaupun tidak mendapat restu rakyat.

Mengikut pelbagai indikasi yang ditunjukkan oleh kerajaan, media pro kerajaan serta mereka yang mempunyai kepentingan langsung dari TPPA, perjanjian itu bakal ditandatangai oleh PM pada awal Februari 2015 ini.

Inilah syarat yang telah disepakati oleh semua negara anggota TPPA , bahawa selepas persepakatan dicapai di Atlanta AS, semua 12 negara anggota itu perlu mendapatkan kelulusan terakhir di parlimen masing-masing.

Sepanjang perundingan selama hampir 7 tahun, seluruh proses rundingan TPPA dirahsiakan.

Kini sejak teks TPPA berjumlah lebih 6,000 muka surat itu didedahkan pada awal Oktober 2016 oleh negara depositori iaitu New Zealand, seluruh ahli parlimen perlu menelaahnya dalam tempoh hanya sekitar 3 bulan, sama ada cukup memahami atau tidak, teks tersebut, mereka diminta bersetuju untuk TPPA ditandatangani pada awal Februari.

Kami menegaskan status Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka kini terletak di tangan setiap ahli parlimen. Implikasi dari persetujuan menerima TPPA akan memberi kesan bukan sahaja kepada generasi kini malah kepada generasi mendatang bertahun-tahun lamanya.

Lantaran TPPA bukan sahaja sebuah perjanjian perdagangan, malah sebuah strategi geo-politik AS, maka apa sahaja boleh berlaku untuk TPPA diguna bagi menekan anggota negara TPPA untuk mengikut telunjuk AS. Sejumlah negara yang mengalami kerugian berbilion dolar akibat disaman di mahkamah tribunal perdagangan dalam perjanjian TPP yang melibatkan pelabur AS, cukup membuktikan risiko yang bakal ditanggung oleh kerajaan dan rakyat Malaysia.

Hujah bahawa laporan PWC (PRICE WATERHOUSE COOPERS) jelasnya menyatakan Malaysia akan mengalami defisit perdagangan (import melebihi eskport) mencecah RM17 bilion setahun, akan tetapi menteri MITI tetap mengatakan, tanpa TPPA, Malaysia akan rugi.

Telah berkali-kali, malah dibekalkan pellbagai dokumen dan hujah balas kepada pihak menteri MITI, untuk mengesa kerajaan menarik diri dari perundingan TPPA, namun usaha pelbagai NGO, pakar ekonomi nampaknya tidak diendahkan .

Kini ia sudah sampai di dewan rakyat untuk diperbahaskan. Yang pasti tidak ada sebarang kalimat pun yang boleh dipinda dari teks TPPA itu dalam perbahasan di parlimen, sebaliknya pelbagai undang-undang dan polisi negara pula yang akan dipinda supaya selaras dengan TPPA yang bakal ditandatangani itu.

Kami akan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada kerajaan yang memerintah sekarang bila berlaku natijah yang membebankan Malaysia akibat TPPA ditandatangani Februari ini.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden MAPIMHARAKAHDAILY 26/1/2016

Share on Myspace