60 lagi mangsa banjir dapat rumah baru

SALMAH MAT HUSAIN | .

KUALA KRAI: Lima penempatan baru yang diwujudkan kerajaan negeri memberi harapan baru kepada mangsa-mangsa banjir besar akhir 2014.

Sehingga kini dua daripada penempatan tersebut sudah diduduki termasuk di Kampung Telekong dekat sini.

Penempatan pertama yang diusahakan kerajaan negeri di Desa Rahmat, Machang yang menempatkan 10 mangsa banjir dari Dun Temangan diduduki awal tahun lepas.

Dan hari ini 60 lagi mangsa banjir di Kuala Krai menerima kunci rumah di Laman Seri Ehsan yang disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Penempatan baru itu yang melibatkan kos sebanyak RM10.2 juta disumbang Lembaga Zakat Selangor (LZS) disiapkan selama tempoh enam bulan.

Adun Mengkebang Abdul Latif Abdul Rahman merakam ucapan terima kasih kepada LZS kerana membiayai pembinaan penempatan tersebut bagi mangsa banjir di Kuala Krai.

“Kosnya begitu besar. Ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan Kelantan menyediakan rumah kekal kepada mangsa-mangsa banjir di Kuala Krai,” katanya di sini.

Hadir sama Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob, timbalannya Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Datuk Abdullah Ya’kub, Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Selain itu kerajaan Selangor juga membina 60 rumah kekal di Taman Darul Ehsan di Kampung Manek Urai Baru, kini hampir siap sepenuhnya.

Penempatan lain yang dibangunkan kerajaan negeri termasuk Simpang Pulai dan Tanah Putih, Gua Musang. - HARAKAHDAILY 26/1/2016

Share on Myspace