LTH perlu akur peringatan BNM, bukan nafi

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengesa pihak Lembaga Tabung Haji (LTH) akur dan mengambil langkah yang sesuai dengan peringatan serta nasihat daripada Gabenor Bank Negara mengenai isu rezab dan pengagihan dividen kepada pencarum oleh institusi tersebut.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya amat terkejut dengan teguran dan ingatan Bank Negara terhadap LTH melalui dua surat yang kini teredar meluas melalui media sosial, menyatakan kedudukan kewangan dan nilai aset Tabung Haji dalam keadaan yang tidak kukuh.

"Kami ingin mengingatkan bahawa institusi Islam yang melibatkan caruman masyarakat awam seperti LTH, sangat penting dikendalikan dengan profesional, telus dan beramanah .

"Tanggapan orang awam bahawa institusi Islam adalah lebih berintegriti perlu dipertahankan. Ini menjadi kriteria yang utama sebagai asas kerajaan harus meningkatkan lagi usaha mengujudkan lebih banyak institusi Islam dinegara ini," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun jelas beliau,  apabila berlaku kepincangan yang didedahkan dalam media, dan penjelasan  yang diberi oleh pihak berkenaan tidak tuntas bukan sahaja keyakinan masyarakat kepada institusi tersebut akan terjejas malah imej Islam yang menjadi dasar kepada kewujudan institusi itu sendiri.

"Kami menegaskan institusi Islam semestinya menjadi kayu ukur dan model untuk dijadi teladan kepada masyarakat, bahawa Islam mampu memajukan masyarakat dengan sistem Islam yang lengkap.

"Kami percaya tindakan Bank Negara mengutus surat ingatan dan teguran itu kepada LTH, mengisyaratkan bahawa sebarang kepincangan pengurusan kewangan institusi yang dijamin oleh kerajaan, terutama yang melibatkan sekitar 9 juta pencarum, perlu dipantau dengan rapi kerana ia boleh memberi kesan rantai kepada banyak aspek ekonomi negara," tegasnya.

Jelasnya, dengan memberi reaksi menafikan kenyataan dan berhujah bahawa LTH tidak menghadapi masalah sebagaimana yang digambarkan oleh surat Gabenor Bank Negara adalah tidak bijak.

Ia, kata beliau seolah-olah menyapu masalah dibawah karpet, sedangkan Bank Negara hanya mahu menegur untuk memperbaikki keadaan, menunjukkan pihak yang berkaitan dijangkiti penyakit sindrom penafian.

Sebelum ini isu Tabung Haji membeli aset hartanah 1MDB dengan harga yang berlipat kali ganda dari harga yang dibeli oleh 1MDB itu sendiri sudah cukup mencurigakan masyarakat awam.

Pengumuman Perdana Menteri bahawa Tabung Haji diarah menjual semula aset tersebut, bukti jelas menunjukkan pengurusan kewangan Tabung Haji tidak berhemat. Sehingga kini kedudukan jualan semula hartanah itu belum di ketahui kedudukannya.

Justeru Mapim turut menggesa supaya semua institusi Islam segera disemak dengan terperinci untuk mengembalikan keyakinan masyarakat awam yang menerima pelbagai maklumat mengenai ketidaktelusan pengurusan yang melibatkan kewangan institusi Islam. – HARAKAHDAILY 26/1/2016

Share on Myspace