Tanah getah 4 ekar purata dividen RM1.64 sehari

HARAKAHDAILY | .

TANJUNG MALIM: Ceritanya seperti berlebihan tetapi itulah hakikat sebenarnya yang dilalui beberapa peserta Felcra Kampung Pasir, Ulu Slim.

Mereka meluahkan masalah itu kepada Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Razman Zakaria dalam perjumpaan singkat, petang semalam. Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS Tanjung Malim yang juga Pengerusi Hal Ehwal Felcra PAS Pusat, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman.

"Kalau cerita macam tak masuk akal, "ujar Razman kepada Harakahdaily.

Menurutnya, dividen tahunan ke atas 4 ekar tanah yang diusahakan Felcra semenjak tahun 1991 sekitar RM600 setahun atau purata pada kadar RM1.64 sehari.

Katanya, tanah mereka mula diserahkan kepada Felcra pada 1991 sementara getah mula ditoreh pada 2001 di mana tuan tanah mula dibayar dividen pada 2007.

"Semakan kos pembangunan tanah sehingga kini masih berbaki hampir RM1 juta," ujarnya lagi.

Justeru, kata beliau para peserta dalam kawasan Dun Behrang itu mempersoalkan berapa lama tempoh pulangan pelaburan kebun getah.

Beliau berkata, para peserta juga mengadu premium tanah telah dibayar oleh peserta tetapi sijil hak milik (geran) tidak diserahkan.

"Lajnah Tanah PAS Pusat memohon supaya pihak berwajib memberi perhatian kepada isu yang dibangkitkan dan akan mengadakan pertemuan dengan kementerian yang bertanggungjawab," katanya. - HARAKAHDAILY 27/1/2016

Share on Myspace