PAS maklum usaha haram simbol Islam dalam p'raya

HARAKAHDAILY | .

PAS MEMAKLUMKAN TENTANG USAHA PENGHARAMAN SIMBOL ISLAM DALAM PILIHAN RAYA (27 JANUARI 1972)

PADA hari ini dalam tahun 1972, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah telah mengeluarkan pekeliling kepada jentera PAS di semua peringkat untuk memaklumkan kesan daripada pindaan Akta Pilihan Raya 1958 yang bertujuan mengharamkan penggunaan simbol mana-mana agama dalam pilihan raya.

Sasaran utama mereka ialah untuk mengharamkan simbol Islam yang iaitu perkataan "Allah Muhammad" dan "Bulan Bintang" yang menjadi simbol PAS.

Sebelum itu, pada 7 Ogos 1971, Pemangku Pendaftar Pertubuhan telah memaklumkan kepada PAS tentang penggunaan nama "Parti Islam" selain simbol Bulan Bintang dan bendera yang tertulis Allah Muhammad sebagai mengelirukan orang ramai.

Hal ini telah memaksa PAS mengubah unsur-unsur tersebut dari partinya.

Rentetan daripada itu, dengan berasaskan tragedi 13 Mei 1969, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Mohamed Yaacob telah memberitahu Dewan Rakyat pada 4 Februari 1974 ketika membentangkan Rang Undang-undang Pindaan Akta Pilihan Raya, bahawa penggunaan simbol agama adalah "lebih berbahaya daripada eksploitasi terhadap perkara-perkara perkauman" dan "boleh mendatangkan bahaya kepada keamanan dan keselamatan negara".

Akibat dari sekatan ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 24 Julai 1972 telah menggugurkan perkataan "Allah Muhammad" pada bendera PAS dan menggantikan "Bulan Bintang" dengan bulatan putih berlatar belakang hijau sebagai simbol PAS.

Pindaan ini diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 24 Februari 1973.

Pemakluman awal yang dibuat oleh Setiausaha Agung PAS pada 27 Januari 1972 ini adalah satu persiapan mental yang awal kepada seluruh jentera PAS kerana undang-undang baru ini akan menghilangkan identiti PAS sebelumnya, walaupun Kerajaan tidak pernah membuktikan bagaimanakah simbol-simbol Islam itu boleh menggugat keselamatan negara.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
27 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 27/1/2016

Share on Myspace