Pesanan terbuka: Jika Tok Pa jujur, harus letak jawatan

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

DENGAN Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menjadi suatu isu yang sangat kritikal di mata rakyat, betapapun dinafikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, kami benar-benar berharap beliau berfikir dengan murni dan bersikap dengan benak dan naluri yang jernih untuk memikirkan semula keiltizaman beliau kepada TPPA, walaupun beliau mewakili kerajaan untuk bersetuju perjanjian itu ditandatangani.

Beliau perlu berfikir dengan ikhlas dan mengguna ketajaman minda yang antisipatif bahawa keadaan ekonomi dunia sepanjang awal dekad ini jelas menunjukkan keadaan tidak menentu.

Kegoncangan ekonomi Kesatuan Eropah yang ditunjukkan oleh keruncingan ekonomi seperti Greece, Finland, Portugal, Perancis dan Jerman sepatutnya cukup membuktikan apa-apa perjanjian ekonomi yang mengikat mesti dilihat dengan kritikal.

Malah ekonomi Amerika Syarikat (AS) sendiri berada dalam keadaan tidak kukuh, analisis kejatuhan ekonomi AS yang semakin dibahaskan dengan kritis oleh pelabur di pasaran saham Wall Street.

Demikian juga kelembapan ekonomi seperti China, Jepun dan Korea yang menyebabkan unjuran yang muram dijangka akan terus diramalkan. Juga krisis keamanan yang tercetus di Timur Tengah, menambahkan lagi tanda-tanda ekonomi dunia tidak boleh diandaikan stabil sepanjang masa.

Kami senaraikan sebahagian dari faktor yang menyebabkan sebarang perjanjian perdagangan  yang mengikat akan menyebabkan sesebuah negara terdedah kepada porak peranda yang sangat parah, antara lain: ketegangan dunia akibat perang saudara, kejatuhan harga komoditi, ekonomi yang berasaskan spekulasi, pencerobohan militari antara negara, kemunculan gerakan militan, kegagalan pengurusan kewangan pelbagai institusi dunia, ketidakstabilan mata wang dunia yang sering dimanipulasi oleh spekulator, bencana alam yang semakin kerap, turun naik bursa saham dunia yang terdedah kepada eksploitasi agen pasaran saham, pemindahan pelaburan dan aliran modal yang tidak menentu.

Oleh kerana itu, apa jaminan beliau bahawa TPPA tetap akan menguntungkan negara, ketika senario ekonomi dunia dan serantau akan membebankan semua negara anggota TPPA, malah akan lebih parah dirasai oleh negara berekonomi kecil seperti Malaysia.

Jika beliau jujur dan sedar bahawa sebaik beliau tidak lagi menjadi anggota dalam Jamaah Menteri dan seorang Ahli Parlimen, pada satu hari nanti sebarang kepincangan yang berlaku akibat perjanjian yang beliau sendiri promosikan dan turut menandatanganinya, beliau boleh sahaja berlepas tangan kerana tanggungjawab untuk terbeban menjawab natijah yang bakal diterima oleh rakyat tidak lagi dipikul oleh beliau.

Paling selamat, jawapan yang boleh diberi, ketika jangkaan pertumbuhan ekonomi meleset,   TPPA yang didorong kuat oleh beliau sendiri ialah kerajaan telah mengambil kira unjuran ekonomi semasa, oleh itu sebarang perubahan luar jangka adalah di luar kawalan kerajaan.

Beliau boleh berlepas tangan ketika mana ekonomi serantau atau dunia berhadapan dengan krisis luar jangka sedangkan Malaysia terpaksa menanggung segala obligasi terhadap semua pelabur luar yang melabur di negara ini.

Kami ingin menyampaikan mesej yang jelas dan jujur kepada beliau. Jika beliau tidak sanggup menerima beban memikul tanggungjawab terhadap penderitaan yang bakal dihadapi oleh rakyat bila negara diikat secara undang-undang dengan sebuah perjanjian perdagangan yang sangat membebankan ini, lebih baik dan lebih mulia beliau meletakkan jawatan sekarang.

Tidak timbul beliau terpaksa berpegang kepada janji setia kepada kepimpinan kerajaan dan parti akan tetapi kesetiaan kepada rakyat dan pertanggungjawaban kepada Allah SWT seharusnya menjadi pertimbangan beliau yang utama.

Kongres Rakyat mengusulkan supaya jika Speaker memutuskan untuk menjalankan undian untuk menerima atau menolak TPPA pada hari sidang khas parlimen, undian secara sulit hendaklah dilaksanakan agar semua Ahli Parlimen dapat memutuskan dengan kesedaran diri sebagai rakyat Malaysia yang mahu kedaulatan negara dipertahankan. - HARAKAHDAILY 27/1/2016

Penulis ialah Pengerusi Kongres Rakyat.

Share on Myspace