Manusia dibinatangkan oleh TPPA

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

JIKA Malaysia menandatangani TPPA, saya umpamakan seolah-olah seorang lelaki yang memberikan kunci rumahnya beserta kunci bilik-bilik yang ada kepada 11 orang asing lain. Orang-orang itu juga masing-masing menyerahkan kunci rumah dan bilik kepada 11 orang yang lain sesama sendiri. Dengan kunci itu, mereka bebas masuk ke bilik sesiapa sahaja dan guna apa sahaja yang ada dalam rumah orang lain.

Lebih daripada itu, mereka diberi hak mengetahui rahsia keluarga kita. Kita wajib memberi tahu kepada yang bertanya kalangan 11 orang rakan ini. Inilah yang berlaku dalam perjanjian TPPA, yang meletakkan syarat negara anggota perlu bebas berkongsi maklumat tentang negara, termasuk hal ehwal pertahanan.

Selepas ini, rumah yang kita miliki tidak lagi milik kita seorang, tetapi bakal memiliki 12 tuan! Hal ini kerana anggota TPPA dibenarkan untuk menentukan beberapa dasar terutama percukaian mana-mana negara dengan hanya persetujuan dua negara anggota sahaja.

Bahkan, kita sebagai tuan rumah pula tidak lagi berhak menjaga semua urusan anak bini kita. Kalau sebelum ini kita boleh tentukan anak kita tak boleh makan makanan tertentu, tak boleh pakai pakaian tertentu, tak boleh beli benda tertentu sama ada atas kepercayaan agama atau kesedaran moral, tapi dengan TPPA, mereka bebas menawarkan apa-apa saja kepada keluarga kita tanpa sekatan.

Peranan kita sebagai ketua keluarga akan mandul. Kita jadi dayus dengan terpaksa melihat saja bini dan anak kita hidup bebas mengikut pihak lain. Itulah dia TPPA, apabila akta tembakau, akta filem, akta perdagangan, dan apa jua akta yang ditetapkan demi menjaga kesejahteraan sosial, terpaksa dipinda dalam masa dua tahun demi menepati kehendak TPPA.

Itu belum dikira soal batas-batas syarak. Perihal aurat, halal haram makanan pakaian, pergaulan, ibadah dan sebagainya akan juga terjejas. Bukan sahaja agama Islam, malah peraturan agama lain juga yang selama ini dihormati atas prinsip kebebasan beragama, juga boleh dicabuli demi maslahah ekonomi. Jelas sekali ideologi sekular menjadi paksi kepada perjanjian ini.

Bagi mereka yang percaya kepada kehormatan nilai-nilai moral dan hak-hak peribadi, maka TPPA boleh dikira sebagai perjanjian untuk sama-sama membenarkan pencabulan sesama sendiri. Kau boleh cabul aku dan anak bini aku, aku juga boleh. Ini adalah dasar liberalisme yang mengagungkan kebebasan ke tahap yang tak masuk akal.

Konklusinya, wang sudah mengatasi waras. Nafsu telah mengatasi akal. Nilai-nilai kemanusiaan tidak lagi menjadi ukuran, sebaliknya sifat kebinatangan yang hidup bebas tanpa peraturan pula diangkat sebagai tamadun baru.

Sekiranya kita masih percaya akan kehormatan hak peribadi, maka sewajibnya kita pertahankan negara ini dari menandatangani TPPA. Sosial penduduk Amerika dan negara lain telah hancur dengan dasar liberal ini, maka adakah kita pula rela anak bini dan keturunan kita jadi binatang macam nasib rakyat mereka!

Sedarlah, kita masih manusia! – HARAKAHDAILY 27/1/2016

Share on Myspace