Bantah pelaksanaan semula AES, gesa batal saman

HARAKAHDAILY | .

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataannya minggu lalu mengesahkan cadangan penguatkuasaan semula Automated Enforcement System (AES) akan dibawa kepada Kabinet dan akan dilaksanakan jika dipersetujui serta tidak menolak kemungkinan 1.9 juta saman yang dikeluarkan menerusi sistem ini mesti dibayar oleh pemandu terbabit.

Berhubung isu ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menegaskan bahawa pelaksanaan semula sistem ini adalah sangat tidak wajar setelah Jabatan Peguam Negara menghentikan semua prosiding mahkamah berkaitan dengan saman yang dikeluarkan di bawah AES ini untuk mengkaji isu-isu undang-undang yang dibangkitkan berikutan bantahan awam pada Disember 2012.

Sistem yang mempunyai banyak kelemahan pada aspek pelaksanaan dan perundangan ini serta hanya akan memberikan tekanan kewangan kepada pasalah trafik juga bukanlah penyelesaian terbaik dan jangka panjang untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Sekalipun sehingga ke masa ini masih terdapat 14 kamera AES yang beroperasi, dilaporkan sebanyak 489,606 kes kemalangan pada 2015 berbanding 476,196 pada 2014; iaitu peningkatan sebanyak 13,410 kes.

Data ini sekaligus menafikan kenyataan bahawa AES berjaya mengurangkan kes kemalangan.

DPPM juga merasa amat curiga apabila sistem ini mahu dilaksanakan semula selepas ia ditangguhkan lebih tiga tahun lalu.

Dalam keadaan hasil pendapatan negara merosot dan ketidaktentuan ekonomi sekarang ini, pelaksanaan sistem ini dan pungutan 1.9 juta saman dilihat bertujuan sebagai laluan alternatif kepada Kerajaan untuk menambah hasil pendapatan negara secara segera.

Oleh itu, DPPM menggesa pihak Kementerian agar membatalkan cadangan ini serta melakukan kajian mendalam dan semakan dahulu kepada Jabatan Peguam Negara sebelum apa-apa cadangan mengenai pelaksanaan semula sistem ini dibuat.

DPPM juga mendesak Kerajaan agar membatalkan kesemua 1.9 juta saman yang telah dikeluarkan sebelum ini.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 27/1/2016

Share on Myspace