Kerajaan Umno BN mesti kekang Islam liberal

HARAKAHDAILY | .

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan. Sultan merupakan ketua pentadbir agama negeri masing-masing.

Rakyat Malaysia yang beragama Islam merupakan penganut yang mempunyai sensitiviti tinggi terhadap agama. Isu halal haram dalam industri pemakananan, perbankan dan lain-lain antara bukti, betapa masyarakat kita dalam beberapa sudut mempunyai hati yang sentiasa mahu melindungi keluhuran Islam yang dianuti.

Dari sudut akidah dan ideologi, Islam jelas menolak pemikiran yang membelakangkan agama dalam kehidupan seharian. Sebagai hamba yang mengimani bahawa Islam diturunkan Allah sebagai syariat yang mengatur kehidupan , pastinya kita mengamalkannya dalam setiap aspek kehidupan.

Lajnah  Dakwah Dewan Muslimat Pas Malaysia  (LD DMPM) memandang serius usaha penyebaran Islam Liberal di Malaysia yang semakin berkembang namun tidak dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

LD DMPM mendesak JAKIM supaya bersikap proaktif dengan segera menjelaskan bahaya liberal kepada masyarakat awam, menggerakkan agen-agen penerangan JAKIM agar masyarakat terdidik dengan kefahaman Islam yang sebenar.

Dalam masa yang sama, fatwa dan tindakan sewajarnya mesti dibincangkan di peringkat mufti serta wakil-wakil ulama se-Malaysia berkenaan terjemahan buku Mustafa Aykol yang telah dilancarkan pada 23 Januari 2016 baru-baru ini (Islam without Extremes: A Muslim case for Liberty).

Syariat dan perundangan Allah yang termaktub di dalam al-Quran merupakan panduan kepada setiap mukmin yang bertaqwa, yang mana ia merangkumi aspek kepercayaan (iman), ibadah (amal), akhlak (etika), tanpa terkecuali aspek kenegaraan dan perundangan.

Seorang yang dianggap sebagai ''Ilmuwan Islam" atau Islamic Scholar seperti Mustafa Aykol seharusnya berusaha agar syariat hukum hakam Allah berada di tingkat tertinggi dan berdaulat.

Dalam kenyataan beliau ketika majlis pelancaran bukunya itu, beliau menyebut bahawa, wanita-wanita yang tiba di Istanbul dari Saudi hanya mematuhi beberapa arahan Islam kerana Saudi menggazetkannya dalam kanun perundangan mereka. Apabila keluar dari kawasan tersebut, mereka tidak perlu menutup aurat kerana undang-undang negara lain tidak mewajibkan muslimah menutup aurat mengikut ajaran Islam.

LD DMPM melahirkan rasa kesal terhadap kerajaan Malaysia yang cuai dalam tanggungjawab melindungi kedudukan Islam seperti yang dijamin perlembagaan Malaysia sendiri.

Sebarang usaha untuk menggugat kefahaman Islam oleh mana-mana pihak mesti diambil tindakan dan diselesaikan oleh kerajaan yg mempunyai autoriti penuh terhadap isu ini, tanpa menafikan keperluan pihak-pihak lain termasuk NGO dakwah, bersatu tenaga bagi menangani isu liberalisme yg semakin membarah di Malaysia ini.

LD  DMPM sendiri sudah menyusun program dakwah kepada masyarakat umum termasuk luar bandar dan segenap pelusuk negara.

LD DMPM menyeru kepada semua pihak berwajib agar mengambil berat terhadap perkara ini. Kami turut mengharapkan agar para pendakwah, asatizah serta khatib yang mengisi pengajian di surau dan masjid, memberi pencerahan kepada masyarakat tentang intipati Islam yg sebenar melalui kuliyah pengajian dan khutbah agar mereka tidak terpengaruh dengan agenda liberalis yang sentiasa mencari ruang untuk menyebarkan fahaman mereka.

Islam adalah agama yang lengkap sempurna, hukum perundangannya jelas dan paling baik untuk dilaksanakan. Yang kabur ialah akal dan mata hati manusia dalam cuba untuk menguruskan khilaf manusia dalam mengimplimentasi syariat Allah dalam kehidupan.

Perlu kita akui juga, kebebasan mutlak hanyalah hak Allah.

HAMIDAH DAUD
Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS MalaysiaHARAKAHDAILY 27/1/2016

Share on Myspace