Bagaimana jika kita tidak tandatangani TPPA?

AZLAN AWANG | .

DALAM perjanjian-perjanjian FTA sedia ada dan WTO sudah ada rejim tarif yang cukup baik untuk Malaysia.

Satu perkara yang selalu kita dengar mengenai perjanjian TPP adalah bagaimana perkongsian 12 negara dalam TPP akan memberi kita capaian kepada kelompok ekonomi yang besarnya adalah 40% daripada GDP sedunia; serta pasaran 800 juta penduduk.

Maka wajib kita berada di dalamnya untuk manafaat amat besar!

Tetapi yang mereka sengaja tidak beritahu:
• Kesemua 12 negara-negara TPP sudahpun berada dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),
• Amerika Syarikat tidak dibenarkan untuk menaikkan tarif mereka terhadap Malaysia di atas paras yang mereka terikat di WTO, dalam semua produk-produk Malaysia, jika Malaysia tidak menandatangani TPP.

Amerika Syarikat sebenarnya sudah terperangkap. Mereka tidak boleh naikkan tarif  untuk menghukum Malaysia jika Malaysia tidak tandatangan. Dan kadar tarif dikunci bawah WTO, secara purata, hanya 3 peratus untuk barangan Malaysia untuk dieksport ke Amerika Syarikat.

Ini adalah sudah memang rendah, kerana, jika kita inginkan sangat mahu dapat tarif sifar (zero tariff) bawah perjanjian TPP, kos-kos untuk proses dan dokumentasi mematuh peraturan baru bawah TPP saperti “rule of origin” dan lain-lain dianggarkan lebih kurang 5 peratus.

Kebetulan kesemua 12 negara TPP sudah berada dalam WTO. Tambah lagi Malaysia sudah meterai perjanjian perdagangan bebas - dengan tarif yang rendah atau sifar - dengan semua negara-negara TPP kecuali empat negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

Daripada empat negara tersebut, Amerika Syarikat, sudah terikat dengan tarif purata (average bounded tariff) pada WTO yang rendah iaitu, 3 peratus, jadi tidak banyak perbezaan jika diturunkan kepada 0% pun, bawah TPP. Kanada pula, punyai tarif terikat purata rendah di WTO sebanyak 6%.

Maka tinggal Mexico dan Peru. Jika benar-benar penting untuk mendapatkan produk-produk Malaysia diekspot ke Mexico dan Peru (dengan terma tarif yang lebih baik), maka adakanlah saja perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Mexico dan Peru, di mana kita hanya perlu enam bab mengenai menghapuskan tarif sahaja. Dan tak perlu bab-bab saperti harta intelek, ISDS dan perkara-perkara lain.
 
Kebanyakan negara di dunia tidak meterai FTA dengan Amerika Syarikat

Sebelum ini terdapat kira-kira 60 negara yang telah memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS).

Mereka semua pada awalnya sangat optimis.'Kami akan dapat tawaran yang terbaik, Perdana Menteri kami kawan rapat dengan Presiden Amerika Syarikat, dia pergi ke ladangnya untuk BBQ. Kita akan mendapat tawaran istimewa, tengoklah” - itulah yang Australia beranggapan sewaktu rundingan FTA dengan AS pada tahun 2003.

Hakikatnya, Australia cuma dapat tawaran sama seperti orang lain, teks yang sama, semua sama, kerana Amerika Syarikat sudah ada templat (acuan perjanjian FTA) yang di bawahnya cuma - anda tandatangan di sini!  

Jadi bagi banyak negara, selepas berpuluh-puluh pusingan rundingan, mereka masih tidak dapat capai yang mereka perlukan, dan merubah teks cadangan dalam templat asal AS. Melihat versi terakhir, mereka  berkata, ini sebenarnya tak sesuai dengan kepentingan negara saya, terima kasih, tapi tak payah, kami tidak akan tandatangan!'

Ini cerita Switzerland. Switzerland sedang berunding dengan AS untuk perjanjian perdagangan bebas (FTA), mereka kaji cadangan AS dan selepas dua tiga pusingan, mereka berkata kepada Amerika Syarikat: “Perlukah anda masukkan bab-bab mengenai harta intelek dan pertanian?” AS berkata, “Kami mesti. Itu semua wajib bagi kami.” Switzerland kemudian berkata, “Kalau begitu, terima kasih banyak, tapi tak payahlah, lebih baik kita teruskan persahabatan kita, tak payahlah perjanjian perdagangan bebas (FTA) ini. Kita boleh terus berdagang dengan satu sama lain di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di mana diantara kita semua sudah ada tarif yang rendah. Jom kita teruskan tanpa FTA ini”.  

Mengikut World Economic Forum (WEF) Competitive Index 2014-2015– Switzerland adalah negara paling kompetitif di seluruh dunia. Jelas bukan hal ‘takut’ atau ‘tidak takut’ saperti naratif yang dijaja Tok Pa.

40 daripada 60 negara tinggalkan rundingan FTA dengan AS, seperti Malaysia pada tahun 2008

Jadi daripada 60 negara yang mula berunding dengan AS, hanya 20 tandatangani. Dua pertiga tolak, kerana mereka dapati tidak sesuai dengan mereka. Jadi majoriti daripada 170 negara di seluruh dunia tidak mulakan apa-apa rundingan langsung, dan dari 60 negara yang berunding 40 negara (dua pertiga) akhirnya tidak menandatangani perjanjian FTA kerana cadangan (templat) AS itu dianggap begitu buruk dan lebih mudarat untuk mereka.

Hanya  beberapa negara saja yang mampu jadi hero dan menanggung kehendak Amerika Syarikat. – HARAKAHDAILY 27/1/2016

*Azlan Awang merupakan timbalan pengerusi #BantahTPPA. Artikel diatas adalah adaptasi daripada syarahan Sanya Reid Smith, Third World Network

Share on Myspace