Pertanyaan baru mengenai skandal RM2.6 bilion

HARAKAHDAILY | .

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) amat terperanjat dengan pengumuman Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang memutuskan bahawa YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bebas dari sebarang salah laku rasuah dalam skandal pengubahan wang terbesar di Malaysia.

Umum sedia maklum tentang drama ‘derma’ RM2.6 bilion ini yang telah berlanjutan sekian lama. Bermula daripada pendedahan akhbar Wall Street Journal, pelbagai soalan telah diajukan, dan tidak dijawab. Dengan pendedahan hari ini, timbul lebih banyak persoalan yang harus dijawab oleh Najib Razak:

1. Jika RM2.03 bilion telah dipulangkan kepada penderma Arab, ke mana pergi baki berjuta-juta ringgit? Di manakah duit ini telah dibelanjakan dan untuk kegunaan apa? Mungkinlah, wang ini digunakan untuk membeli PRU13, seperti yang didakwa oleh Wall Street Journal?

2. Kenapa Tan Sri Gani Patail perlu dipecat daripada jawatan Peguam Negara jikalau RM2.03 bilion telah dipulangkan dan tiada salah laku?

3. Kenapa Najib Razak tidak bertindak menyaman Wall Street Journal jikalau beliau tidak menyalahgunakan dana 2.6 billion yang masuk ke akaunnya seperti yang dilaporkan WSJ?

4. Kenapa bekas Timbalan Perdana Menteri dipecat apabila beliau menyoal isu RM2.6 billion? Kenapa rombakan kabinet dilakukan dan menggugurkan mereka yang lantang bersuara mengenai aliran tunai ini? Apakah terlalu susah untuk menerangkan transaksi ini?

5. Kenapa Najib Razak mengambil masa yang terlalu lama untuk menerangkan isu ini dan pelbagai cerita direka sebelum ini? Dari satu penderma, kepada lebih dari satu penderma. Dan kini, Peguam Negara mengatakan bahawa RM2.03 bilion telah dipulangkan. Siapa yang bercakap benar?

6. Kenapa akaun peribadi Najib Razak di Ambank dilupuskan jikalau tidak ada apa-apa transaksi yang meragukan?

7. Di manakah bukti-bukti pembayaran semula RM2.03 bilion? Apakah perlu lagi setahun untuk menunjukkan bukti tersebut?

8. Najib Razak dilaporkan telah memulangkan semula RM2.03 bilion kepada penderma Arab pada tahun 2013. Namun, beliau menerima RM42 juta pada 2014/2015. Kemudiannya Najib Razak berkata beliau tidak pasti atau sedar bahawa RM42 juta itu datang dari RM2.6 bilion atau tidak. Apakah Bank Negara Malaysia gagal mengesan transaksi sebesar ini?

9. Adakah sebarang permohonan dibuat kepada Bank Negara untuk menghantar, menghantar semula atau menerima wang dalam jumlah yang amat besar ini? Adakah aliran wang dalam jumlah yang amat besar dari sumber asing ini tidak melanggar apa-apa undang-undang pengubahan wang?

Persoalan-persoalan ini harus dijawab segera oleh Najib Razak. Pada masa yang sama, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Bank Negara juga harus tampil kehadapan dan mendedahkan apa sebenarnya hasil siasatan mereka yang tempoh hari dikembalikan oleh Peguam Negara; adakah dapatan siasatan tersebut berbeza atau tidak lengkap?
 
Bersih 2.0 juga ingin mengetahui siapa sebenarnya yang terlibat dalam rentetan peristiwa ini? Apakah nama penderma yang baik budi itu tidak dapat didedahkan? Mungkin si penderma boleh membantu Tabung Haji yang didakwa sedang mengalami masalah kewangan.

Sepertimana kebebasan pejabat Peguam Negara dikompromi pada bulan Julai tahun lalu, Bersih 2.0 bimbang bahawa siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam akan turut menghasilkan natijah yang sama, selepas Najib Razak menyusun semula komposisi Ahli Parlimen di dalam Jawatankuasa tersebut.

Bersih 2.0 menggesa PAC menjalankan siasatan secara terperinci dan bebas ke atas 1MDB supaya orang ramai diberikan jawapan yang sepatutnya. - HARAKAHDAILY 27/1/2016

Dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.

Share on Myspace