TPPA: Shafie Apdal bimbang Malaysia senasib Mexico

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Hari terakhir perbahasan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Parlimen hari ini satu-satunya Ahli Parlimen daripada BN menyatakan kebimbangan terhadap kerajaan yang sangat teruja untuk menandatangani perjanjian itu.

Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri  Mohd Shafie Apdal ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan itu menyuarakan kerisauan beliau terhadap nasib peniaga tempatan selepas perjanjian itu ditandatangani.

"Saya tidak mahu selama ini perjuangan kita hendak membela masyarakat Melayu dan Bumiputera negara ini, kerana TPPA ini akan mengubah dasar dan struktur negara kita.

"Kita perlu mengubah 26 akta yang ada selepas kita persetujui di peringkat parlimen ini," katanya.

Bahkan tegas beliau, sehingga kini belum ada jaminan apa akibatnya kelak sekiranya hasil daripada perjanjian ini  terhadap golongan Bumiputera dan Melayu.

"Kalau tidak ada jaminan apa akibatnya?", soal beliau diikuti sokongan daripada Ahli Parlimen Pembangkang.

Shafie turut mengakui penyertaan Malaysia di dalam TPPA secara umumnya adalah untuk kepentingan negara tetapi isu domestik seperti persaingan pertikaian pelaburan negara dan harta intelek syarikat milik kerajaan perlu diberi perhatian secukupnya.

"Tidak boleh dipandang ringan, yang perlu kita lihat secara mendalam tidak bererti saya bangkitkan persoalan ini kerana saya menidakkan menyokong. Tidak," tegas beliau.

Yang penting jelasnya, kerajaan perlu ada pendekatan untuk memantapkan dari segi struktur perundangan yang ada kerana pencegahan di peringkat awal bagi mengelakkan Malaysia senasib seperti Mexico dan Kanada.

"Kita harus akui kenapa China harus menyertai TPPA, ia merupakan produk yang dikeluarkan milik Amerika melalui China, barangan hampir bukan keseluruhan yang dikeluarkan daripada Amerika dikeluarkan oleh negara-negara seperti China kita perlu teliti generasi yang datang iaitu rakyat.

"Saya tidak mahu cakap panjang, Amerika negara yang berkuasa besar dalam kemelut ekonomi dunia sedang berlaku ini. TPPA ini dapat ditimbang supaya dan apa yang saya cakap dapat dimanfaatkan tidak bererti saya menolak," katanya mengakhiri ucapannya di Dewan Rakyat hari ini. – HARAKAHDAILY 27/1/2016

Share on Myspace