PAS Pahang setuju MB beri penerangan isu bauksit

BASIRON WAHAB | .

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang (Adun) Beserah Andansura Rabu menyifatkan tindakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub untuk memberi penerangan kepada rakyat di seluruh negeri adalah satu usaha yang baik.

Katanya, walaupun terlewat kerana isu bauksit sudah berlarutan sejak dua tahun lalu tetapi ia wajar dilakukan oleh Adnan, kerana daripada tiada langsung lebih baik ada (penerangan).

“Sepatutnya isu berkenaan ditangani dua tahun lalu, supaya penduduk tidak menunggu sehingga kemusnahan berlaku, barulah bertindak dan kini Kerajaan Negeri dikatakan akan mengadakan sesi penerangan di seluruh negeri mengenai isu bauksit itu,” kata Andansura.

Adnan berkata, sudah tiba masanya untuk beliau sendiri memberikan penerangan kepada rakyat selepas berdiam diri pelbagai kritikan berhubung isu itu.

"Tunggulah saya akan pergi buat sesi penerangan ke seluruh negeri Pahang untuk menerangkan isu bauksit ini.

"Penerangan ini penting untuk kita maklumkan kepada rakyat mengenai perkara sebenar berhubung isu bauksit, sebelum ini saya hanya berdiam diri dan memerhatikan sahaja apa yang berlaku," akuinya.

Adnan berkata demikian pada majlis penjenamaan semula Kolej Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP) kepada Kolej Yayasan Pahang (YPM) dan Program SMART Tahfiz.

Adnan berkata, berdasarkan pemerhatian, 99 peratus masalah bauksit yang timbul adalah berpunca daripada kegiatan perlombongan bauksit haram.  

"Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ada kuasa, kastam dan pelabuhan ada kuasa, di jalan raya pula polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ada kuasa, tetapi akhirnya kita tak ada kuasa langsung untuk kuat kuasa undang-undang untuk mengatasi kegiatan perlombongan haram," katanya.

Pada 6 Januari lalu,  Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan kerajaan pusat memutuskan aktiviti perlombongan bauksit dihentikan sementara selama tiga bulan berkuatkuasa 15 Januari 2016.  

Isu Bauksit memberi kesan kepada kehidupan dan keselesaan penduduk apabila terpaksa berhadapan dengan pencemaran udara, sungai dan laut.
 
Penduduk yang menjadi mangsa hampir kecewa diatas kegagalan pihak berkuasa khususnya kerajaaan negeri yang gagal menangani masalah itu.
 
Campur tangan kerajaan pusat memberi kelegaan kepada penduduk dan berharap kerajaan menutup terus lombong bauksit bukannya setakat dihentikan selama  tiga bulan. – HARAKAHDAILY 27/1/2016

Share on Myspace