Indeks Persepsi Rasuah 2015: Malaysia jatuh lagi

HARAKAHDAILY | .

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melahirkan kekecewaan terhadap kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2015.

Kenyataan Transparency International hari ini menunjukkan Malaysia jatuh ke kedudukan 54 berbanding 50 pada tahun 2014. Skor Malaysia juga menurun daripada 52/100 kepada hanya 50/100.

Ia sekaligus mempersoalkan keberkesanan polisi dan tindakan kerajaan dalam memerangi rasuah sepanjang tahun lalu.

Pelbagai isu besar yang dibangkitkan sepanjang tahun lalu terutama yang melibatkan 1MDB dan dana RM2.6 bilion mungkin antara faktor yang menyebabkan kejatuhan indeks CPI Malaysia. Ia sukar disangkal memandangkan negara-negara luar turut mempersoalkan isu yang sama.     

Perkara ini juga turut mempengaruhi kondisi ekonomi negara. Keyakinan pelabur, pilihan haluan perdagangan dan kestabilan ringgit turut akan terjejas sekiranya indeks CPI tidak dipulihkan secara drastik.

Pelbagai ruang pembaharuan sepertimana yang dicadangkan oleh Presiden TI-Malaysia perlu dipertimbangkan terutama yang melibatkan integriti kepimpinan dan kemahuan mereformasikan budaya berpolitik.

Pengurusan dan pentadbiran negara didesak segera mematuhi syariat sekaligus membaiki kepincangan ketara yang akhirnya menjadi lubuk bersarangnya virus rasuah.

Taqwa (tunduk dan patuh kepada Allah swt) mesti menjadi prinsip teras dalam kepimpinan negara dipelbagai peringkat. Tanpa taqwa, negara akan terus bergelumang dengan mungkar seperti rasuah. Rasuah pula akan menghancurkan negara dan tamadun.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
17 Rabiul Akhir 1437 / 27 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 27/1/2016

Share on Myspace