Rakyat tidak akan berhenti bantah TPPA

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

KEPUTUSAN Dewan Rakyat semalam seperti dijangka telah meluluskan usul penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Lebih tepat lagi, pihak kerajaan sudah membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian tersebut walau apapun keputusan Parlimen.

Tarikh 27 Januari 2016 adalah hari gelap untuk kedaulatan negara. Undian yang memihak kepada TPPA jelas adalah permulaan negara akan terdedah kepada hegemoni Amerika Syarikat sebagai negara de facto kepada perjanjian TPPA.

Rakyat tidak akan berhenti berusaha untuk menuntut supaya TPPA tidak ditandatangani dengan mudah.

Perdana Menteri dan Menteri MITI akan berangkat ke New Zealand pada awal Februari 2016 ini untuk menurunkan tandatangan menyertai TPPA bagi pihak Malaysia .

Kami tetap tidak merestui TPPA ditandatangani dan tidak redha PM dan Menteri MITI mewakili rakyat Malaysia untuk menerima TPPA.

Sebarang natijah yang akan membebankan negara akibat TPPA akan dipertanggungjawab sepenuhnya kepada mereka.

Tempoh dua tahun untuk kerajaan membuat ratifikasi bagi meminda undang-undang setelah ditandatangani juga adalah tempoh yang akan diguna oleh rakyat agar kerajaan tidak dengan mudah meminda sebarang dasar dan undang-undang.

Ratifikasi itu sendiri adalah petanda kedaulatan negara digadai kerana semuanya harus diselaraskan mengikut peruntukan TPPA.

Parlimen sebagai institusi tertinggi menggubal undang-undang terpaksa ditundukkan kepada TPPA. Maruah dan martabat Parlimen Malaysia kini telah direndahkan kepada kuasa luar.

Kami tetap menyatakan kekesalan terhadap keputusan undian blok pada sidang khas Parlimen untuk menerima TPPA.

Ternyata ahli Parlimen yang telah dimandatkan untuk memastikan kedaulatan negara dipertahankan telah gagal memahami implikasi buruk yang bakal diterima oleh negara dan rakyat.

Hujah yang dibentangkan oleh ahli Parlimen yang menolak TPPA ternyata tidak dipertimbang oleh wakil rakyat kerajaan BN. Sesungguhnya ini bukan soal politik tetapi isu yang menyentuh masa depan negara.

Kongres Rakyat tidak akan berhenti memperjuangkan kedaulatan negara dalam apa sahaja bentuk perjanjian yang mengikat negara. - HARAKAHDAILY 28/1/2016

Penulis ialah Pengerusi Kongres Rakyat yang juga Presiden Mapim.

Share on Myspace