Sejarah: Dr Burhanuddin al-Helmy ditahan ISA

HARAKAHDAILY | .

DR BURHANUDDIN AL-HELMY DITAHAN ISA (28 JANUARI 1965)

PADA hari ini dalam tahun 1965, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan bersubahat merancang penubuhan kerajaan dalam buangan di Karachi untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia secara tidak demokrasi.

Dr Burhanuddin telah menafikan keterlibatannya dan juga PAS dalam kegiatan subversif ini, sebaliknya mendakwa beliau telah menjadi mangsa politik musuh-musuhnya.

Pendirian PAS yang menolak penubuhan Malaysia dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961, sebaliknya mencadangkan penubuhan Melayu Raya telah menyebabkan PAS dituduh anti-Malaysia.

Kerana isu Brunei kemudiannya, Indonesia telah melancarkan kempen Ganyang Malaysia! Konfrantasi Indonesia-Malaysia telah menyebabkan agen-agen negara jiran itu menyelusup ke Tanah Melayu.

Menurut kertas putih kerajaan, tokoh-tokoh politik pembangkang telah terlibat penyokong Indonesia. Antara yang dituduh sebagai perancang utama termasuklah Naib Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani yang ditahan ISA pada 26 Januari 1965.

Dr Burhanuddin al-Helmy telah dibebaskan pada 14 Mac 1966 tetapi dikenakan pula sekatan politik sehingga 22 September 1969.

Ekoran penahanan ini, pada 29 Januari 1965, Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah memangku jawatan utama PAS ini.

Di sebaliknya penafian Dr Burhanuddin al-Helmy yang beliau terlibat dengan kegiatan subversif ini, pihak Kerajaan Perikatan yang menahan beliau tidak pernah membuktikan tuduhan tersebut di mahkamah, sebaliknya Kerajaan hanya mengeluarkan kertas putih bertajuk 'A Plot is Exposed' pada 27 Februari 1965.

Akibat penahanan dan siksaan semasa berasa di bawah ISA ini, Dr Burhanuddin al-Helmy telah jatuh sakit yang membawa kepada kematian beliau pada 25 Oktober 1969.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
28 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 28/1/2016

Share on Myspace