TPPA perlu referendum rakyat

HARAKAHDAILY | .

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah menggerakkan jentera kempen, penganjuran kongres, menyertai persidangan, forum, memobilisasi rakyat dan berbahas di Dewan Rakyat untuk membantah tindakan Malaysia dalam menandatangani perjanjian TPP tidak lama lagi.

PAS juga tidak akan berdiam diri malah akan terus mendesak dalam segenap ruang yang masih ada untuk membantah perjanjian TPP ini. Referendum rakyat diperlukan bagi memastikan negara selamat.

PAS sangat kesal dengan tindakan kerajaan yang hanya menjadikan Dewan Rakyat sebagai tempat untuk endorse keputusan yang telah siap.

Malah, PAS turut menjangkakan sudah wujud pra konsensus dalam kalangan BN untuk menandatangani perjanjian TPP meskipun rakyat dan banyak NGO membantah secara besar-besaran agenda ini. Ingat, perjanjian TPP bukan solusi utama dan betul untuk memulihkan ekonomi negara.

Kerajaan telah tunduk dengan cengkaman perjanjian ini. TPP bukan semata-mata untung rugi perdagangan, tetapi ia melibatkan peluasan kuasa besar terhadap kedaulatan Malaysia. Undang-undang negara boleh dipinda bagi memenuhi kehendak anggota-anggota TPP.

Tidakkah ini merupakan satu agenda imperialisma yang merombak kebebasan dan kedaulatan negara?

PAS melahirkan rasa kesal terhadap semua ahli Parlimen BN (127) yang telah meluluskan usul menandatangani perjanjian TPP di Dewan Rakyat, semalam.

Tidak semua kebenaran berpihak kepada suara majoriti. Masih ada ruang bagi mereka menyatakan bantahan sebelum Perdana Menteri menandatangani perjanjian ini yang dijangka akan dilakukan pada bulan hadapan.

Utamakanlah kepentingan negara! Selamatkan negara dan binalah negara Malaysia yang sejahtera.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Temerloh
17 Rabiul Akhir 1437 / 27 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 28/1/2016

Share on Myspace