TPPA lulus: Selamat datang 'penjajah' moden

HARAKAHDAILY | .

Selepas dua hari persidangan khas Parlimen, akhirnya majoriti ahli Parlimen menyatakan sokongan terhadap Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) sekaligus menyaksikan Malaysia bakal menandatangani perjanjian tersebut pada bulan hadapan di New Zealand.

Keputusan ini sudah dijangka semenjak dari awal lagi. Sejak dokumen rasmi mengenai TPPA didedahkan kepada umum, kerajaan kelihatannya begitu agresif menggunakan segala ruang melalui media cetak dan elektronik untuk berkempen mengenai TPPA.

Segala bentuk bantahan telah  dikemukakan sama ada melalui diskusi ilmiah sehingga ke himpunan aman di Padang Merbok.

Namun, kerajaan seolah-olah memekakkan telinga (fall to deaf ear) dengan segala justifikasi dan hujah yang dibentangkan.

Persidangan Parlimen pula hanya sekadar 'rubber stamp' bagi menguatkan hujah Kerajaan untuk menyokong TPPA. Ia hanya taktik mendiamkan seketika mulut si pengkritik.

Apa yang lebih mendukacitakan, kerajaan hanya berhujah berpaksikan kepada aspek ekonomi dan perdagangan, itupun masih belum cukup ampuh untuk meyakinkan keuntungan yang bakal diperolehi Malaysia.

Manakala aspek geopolitik AS dan China, pengaruh politik AS di sebalik perjanjian tersebut tidak diambil perhatian langsung, malah menolak mentah-mentah pandangan yang dikemukakan.

Selamat datang si "penjajah" moden, selamat tinggal kebebasan dan jati diri.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua DPPM/Ahli Parlimen Pasir Mas - HARAKAHDAILY 28/1/2016

Share on Myspace