Mangsa ombak besar dibantu kerajaan negeri

HISSAM TUAN MAMAT | .

PENGKALAN CHEPA: Mangsa ombak besar di Kampung Pulau Kundur dekat sini menerima sumbangan kerajaan negeri dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

PKINK merupakan agensi pertama yang menghulur sumbangan kepada mangsa terbabit.

Pegawai Perhubungan Awam Pusat Kawalan Bantuan Bencana Kumpulan PKINK, Mohd Rozi Mohd Noor berkata, sebanyak 14 keluarga yang terjejas akibat fenomena air pasang besar diberi bantuan segera.

Katanya, setiap keluarga menerima bantuan keperluan harian dan kelengkapan lain.

“PKINK sentiasa mendahului bagi menjaga keperluan rakyat yang ditimpa bencana. Awal tahun lepas kami menghulur bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas teruk di Kelantan selatan,” katanya.

Setiausaha Dun Kijang Muhammad Sulaiman berkata, PKINK merupakan agensi kerajaan yang pertama turun padang membantu mangsa air pasang besar di Pulau Kundur.

Oleh itu, beliau mengucap terima kasih kepada kumpulan PKINK yang menghulurkan sumbangan kepada mangsa air pasang besar tersebut.

Manakala semalam anggota Exco dan Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar turut melawat rumah penduduk yang terjejas ekoran ombak besar di kampung tersebut.

Mumtaz juga turut menghulur sumbangan kepada mangsa ombak besar yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kundur. – HARAKAHDAILY 28/1/2016

Share on Myspace