Khalid, Ismail Sabri mohon batal saman Nurul Izzah

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung dakwaan menuduhnya sebagai penderhaka kepada negara.
    
Perkara itu dimaklumkan peguam N. Surendran dan Latheefa Koya mewakili Nurul Izzah ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin hari ini.
    
Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri Peguam Persekutuan Shaiful Nizam Shahrin mewakili Khalid dan Ismail Sabri yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman berkenaan.
    
Surendran berkata kedua-dua defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu semalam.
    
Sementara itu, Latheefa berkata pihaknya akan mengemukakan bantahan terhadap Jabatan Peguam Negara yang mewakili kedua-dua defendan dalam kes saman berkenaan.
    
"Dalam kes ini, kedua-dua defendan disaman atas kapasiti peribadi dan mereka tidak sepatutnya diwakili Jabatan Peguam Negara kerana anak guam kami tidak menamakan Kerajaan Malaysia dalam kes saman tersebut," katanya.
    
Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai memfailkan saman itu pada 26 Nov 2015 dengan mendakwa Khalid telah mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah terhadapnya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman pada 22 Nov 2015.
    
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata perkataan fitnah itu dikeluarkan selepas beberapa hari gambar yang memaparkannya (Nurul Izzah) bersama Jacel Kiram, anak perempuan kepada Jamalulail Kiram yang dikatakan mengarahkan atau mengetuai serangan dan pencerobohan ke atas Sabah, pada 2013.
    
Nurul Izzah mendakwa dalam makna asal atau biasa, perkataan-perkataan fitnah itu bermaksud bahawa beliau adalah seorang penderhaka kepada negara dan dalang di sebalik serangan dan pencerobohan Sulu ke atas Sabah.
    
Beliau juga mendakwa pada hari sama (22 Nov 21015), Ismail Sabri juga mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah dalam sidang media di satu majlis di Bera, Pahang yang dalam makna asal atau biasa bermaksud beliau adalah seorang penderhaka kepada negara dan telah mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
    
Katanya, kenyataan oleh kedua-dua defendan itu diterbitkan dan disiarkan di media elektronik dan cetak dan mendakwa disebabkan perkataan fitnah itu, beliau mengalami kecederaan teruk terhadap reputasi sebagai seorang anggota Parlimen dan pemimpin politik.
    
Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, teruk, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - Bernama

Share on Myspace