Cagaran: Tanah getah, sawit 10 ekar tidak bernilai?

HARAKAHDAILY | .

TANJUNG MALIM: Peneroka Felda Besout 5 memberitahu bahawa tidak ada erti mereka memperolehi hak milik tetapi tanah tidak ada nilai.

Demikian menurut Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Razman Zakaria dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, salah seorang daripada peneroka yang keluar dari sistem Felda memberitahu tidak ada bank yang mahu menerima tanah sawit seluas 10 ekar yang telah memperolehi hak milik sebagai cagaran untuk sebarang pinjaman.

"Keadaan ini berbeza sebelum Felda diserahkan kepada FGV.

"Mereka bimbang status tanah mereka. Apakah mereka dijadikan cagaran oleh FGV?" ujarnya lagi.

Katanya, luahan tersebut dinyatakan peneroka berkenaan dalam satu majlis dialog yang diadakan di Felda Besout 1, kelmarin. Turut hadir ialah Pengerusi Lajnah Tanah, Peneroka Bandar dan Orang Asal PAS Perak yang juga Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Tarmizi Abd Rahman.

Justeru, katanya PAS memandang serius perkara itu dan akan membuat siasatan mendalam.

Ini, tambahnya kerana dibimbangi wujud campur tangan politik melampau yang boleh memberi kesan negatif kepada prestasi perniagaan.

Beliau berkata, ini juga bagi mengelakkan peneroka Felda terbabit menerima nasib yang sama seperti peneroka Felda Labu Sendayan (Negeri Sembilan), Felda Cahaya Baru, Masai (Johor) dan Felda Sungai Buaya (Selangor).

"Adalah wajar mereka bertindak segera. Mereka boleh memohon penjelasan secara terperinci dan mengadakan sekatan undang-undang untuk menyelamatkan tanah mereka," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Perak. - HARAKAHDAILY 28/1/2016

Share on Myspace