TPPA: Ke mana anda merujuk di dalam syariat?

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

AGAK lama saya tidak berkesempatan untuk menulis justeru kesibukan akibat tugas demi tugas; tanggungjawab terhadap keluarga, syarikat, negara dan jemaah. Sememangnya banyak yang ingin saya kongsikan pandangan tentang TPPA dari segi syariat, real business dan masa depan negara.

Cuma kali ini saya ingin ulas dari segi syariat, di mana kita perlu merujuk di dalam fiqh Islam untuk memahami hukum TPPA?

Sememangnya anda akan buntu jika mencari tajuk khusus di dalam kitab fiqh tentang TPPA. Begitu juga jika anda mencari tajuk khusus tentang Undang-Undang Antarabangsa (القوانين الدولية) atau Hubungan Antarabangsa (أو العلاقة الدولية) di dalam kitab-kitab rujukan Islam.

Hubungan antarabangsa diungkapkan dengan As-Siyar (أحكام السير) iaitu jamak kepada السيرة. Perkataan ini dengan terjemahaan perkata dengan maksud "jalan" (cara-cara). Apabila disebutkan Sirah Nabawi dengan maksud cara perjalanan nabi-nabi. Digunakan perkataan 'jalan' untuk sejarah nabi-nabi supaya kita menyelusuri laluan itu.

"katakanlah, jalan ini adalah jalanku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya".

Begitu juga dengan hubungan negara Islam dengan negara yang lain. Islam mempunyai cara dan gayanya tersendiri apabila melibatkan hubungan negara dengan negara sehingga ia diungkapkan dengan Istilah 'السير' (jalan), iaitu jalan atau cara muamalat orang Islam dengan umat yang lain yang bukan Islam.

Adapun umat bukan Islam di dalam negara dianggap hukumnya sama seperti muslim kecuali dalam isu-isu yang melibatkan akidah dan hukum-hukum taabbudi. Adapun dengan Islam yang lain, Islam tidak meletakkan sempadan melainkan sempadan hari ini adalah ciptaan penjajah. tetapi apabila non-muslim itu bersifat negara, maka ia mempunyai hukum yang khusus.

Ulama yang paling awal mengarang khusus tentang topik ini ialah Imam Abu Hanifah di dalam kitabnya (كتاب السير). Antara Imam-Imam lain yang mengarang khusus tentang hukum ini ialah Imam Sya'bi, Auzai, Thauri, Fazaari dan lain-lain.

Sekalipun ungkapan agak berbeza seperti sebahagiannya menggunakan istilah أحكام المغازي (hukum peperangan) tetapi di dalamnya membincangkan hukum hubungan negara Islam dengan negara lain selepas debu peperangan itu melabuh ke tanah.

Poin yang paling penting di dalam hukum ini ialah hukum kedaulatan negara (السيادة) iaitu tindakan negara Islam tidak boleh ditentukan dan diikat oleh negara lain. Jika ada perjanjian sekalipun ia mesti dilonggarkan dengan jalan keluar yang dipanggil sebagai fasakh.

Jika dalam muamalat Islam, sesuatu kontrak mesti tertakluk kepada hak fasakh apabila berlaku kesan negatif kepada salah satu pihak yang berkontrak guna bagi memastikan kedaulatan individu yang mengikat perjanjian. Jika kedaulatan individu dititik beratkan oleh Islam, cuba anda bayangkan kedaulatan negara dalam hukum As-Siyar? Jauh lebih waspada dan ketat hukum hakamnya.

Yang saya perhatikan di dalam TPPA, banyak kedaulatan negara akan terjejas. Penjelasan MITI bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara TPPA yang ada klausa boleh keluar daripada perjanjian, tetapi secara hitam putihnya tidak kelihatan dengan jelas di dalam draf perjanjian.

Saya bimbang TPPA dari dua sudut: Pertamanya dari segi kedaulatan negara seperti kawalan cukai, dagangan saham, pegangan ekuiti dan lain-lain yang menjadi kunci kepada ekonomi negara dan yang kedua ialah kebimbangan Malaysia menjadi trooper atau askar darat bagi pihak Amerika Syarikat menentang musuh ekonomi nombor satunya, iaitu China.

Kebimbangan kedua lebih tinggi daripada kebimbangan pertama justeru kesannya seperti peperangan ketenteraan, yang hancur ialah negara yang menjadi medan perang, bukan negara yang menjadi tuan kepada peperangan.

Yang berperang ialah Jepun dan British dalam peperangan dunia ke-2, tetapi yang menjadi hamba, dibunuh, dijajah ialah negara yang menjadi barisan hadapan seperti Malaysia, Filipina dan lain-lain. Kebimbangan ini telah saya luahkan dalam artikel yang lepas. – HARAKAHDAILY 28/1/2016

Share on Myspace