Vida: Cekal bangkit setelah berkali-kali terjatuh

SHARIFAH HUNAINI SYED ISMAIL | .

KUALA LUMPUR: Stadium bola sepak dicat warna merah jambu? Dan pemain turut memakai jersi warna sama?

Semua ini atas hasrat seorang wanita, yang mahu menampilkan ciri feminin dalam sukan lelaki sebagai balasan bagi menaja pasukan bola sepak Kelantan.

Beliau tidak lain tidak bukan Hazmiza Othman, 44, bekas guru, ratu kosmetik dan usahawan luar biasa.

Dalam dunia perniagaan beliau dikenali sebagai Dr Vida, dengan gelaran Datuk Seri yang dikurniakan oleh Sultan Pahang pada 2014.

Jutawan yang sentiasa mengenakan pakaian muslimah dengan stail tersendiri, biasanya berwarna merah jambu atau warna terang yang lain, biasanya dihiasi sulaman batu permata, serta memakai tiara untuk dipadankan dengan rantai leher, gelang dan cincin dipakainya.

Jadi, macam mana wanita kecil molek daripada Machang Kelantan ini terbabit dalam pasukan bola sepak negeri kelahirannya?

Selepas kejayaan menaja program realiti Gegar Vaganza disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria tahun lepas, nama Dr Vida menjadi sebutan ramai awal tahun ini apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bersetuju untuk beliau menaja pasukan bola sepak itu walaupun dengan memberikan dua syarat.

Syarat itu adalah menukar nama pasukan kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors, menambah nama satu daripada produknya bagi pasukan terkenal itu, dan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baharu perlu dicat merah jambu.

Malah semasa majlis menandatangani perjanjian kontrak penajaan RM16 juta antara syarikat Dr Vida dengan KAFA baru-baru ini, presidennya Datuk Seri Annuar Musa dan pasukan itu turut memakai warna merah jambu dan bersedia dirakamkan gambar dengan 'trademark' wanita itu - meletakkan isyarat huruf V di tepi bibir dengan slogan "Qu Puteh Qu Puteh barulah putih", dan mereka turut melantiknya sebagai penasihat kehormat KAFA bagi 2016/2017.

Sebagai peminat nombor satu bola sepak tempatan, Dr Vida memberitahu Bernama, penglibatannya dengan KAFA, satu daripada pasukan terbaik di negara ini, kerana ingin produknya menembusi pasaran baharu.

Bagi Dr Vida, untuk berada di tempatnya sekarang beliau telah menempuh pelbagai cabaran dan jalan berliku. Bermula dengan menjual kacang putih dan nasi bungkus kepada rakan sekolah untuk duit poket selepas bapanya meninggal dunia, beliau telah memperluaskan produk jualannya kepada kain batik, telekung, sambal daging dan keropok semasa melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Pada masa sama beliau bekerja sambilan sebagai pekerja kilang dan di kedai makanan ringan untuk menampung pembelajarannya di universiti, katanya.

Selepas lulus Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteran Melayu dan Sejarah), dan menjadi guru di Sekolah SJK (C) Poi Lam, Ipoh, beliau tidak pernah berhenti daripada meninjau peluang perniagaan dan telah mengikuti kursus dalam bidang kecantikan iaitu dandanan rambut dan solekan.

Dengan pinjaman bank sebanyak RM100,000, beliau membuka salun kecantikan dan menganggap ia adalah masa yang amat sukar kerana dengan gaji guru sebanyak RM3,000 sebulan, beliau terpaksa membayar balik pinjaman bank sebanyak RM2,000 sebulan, dan menggunakan selebihnya RM1,000 untuk bayar rumah, kereta dan untuk makan.

Selepas 12 tahun menjadi guru sekolah, beliau bertukar angin dengan menjadi tenaga pengajar di Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dengan mengajar kursus dandanan rambut dan solekan, dan di situlah tercetus idea untuk menghasilkan produk kosmetik apabila bila program cuci muka secara percuma kepada orang ramai di pasar raya oleh pelajarnya menerima sambutan hangat.

"Di situlah saya lahirkan kosmetik saya, Vida Beauty yang merupakan gabungan nama panggilan Miza dan Ida oleh rakan-rakan saya dan menggunakan huruf 'V' yang saya anggap mempunyai nilai yang tinggi," katanya.

Dengan geran sebanyak RM1 juta daripada kerajaan sebagai modal untuk memulakan perniagaan kosmetiknya, beliau bagaimanapun gagal untuk "break into the market" kerana pelaburan sebanyak RM500,000 untuk mengiklankan produknya di majalah tempatan, radio dan televisyen swasta tidak berjaya mempromosikan produknya.

Beliau yang tertekan dan mengalami tekanan darah tinggi, telah mendapat hikmahnya daripada kejadian itu apabila formula sendiri dihasilkan menggunakan gamat dan buah delima untuk produk kesihatan, Pamoga, telah berjaya mengurangkan tekanan darah tingginya.

Dengan semangat baharu, beliau sendiri memasarkan Pamoga melalui program di radio Kelantan FM, "dengan durasi 15 minit untuk satu sesi, produk saya tiba-tiba menerima sambutan di luar dugaan. Itulah yang berlaku enam tahun lepas," katanya.

"Dari situ jualan semakin meningkat, dengan iklan gaya testimoni pengguna yang berkesan, produk ini semakin mendapat sambutan hingga melonjak jualan mencapai 100,000 botol sebulan buat Pamoga. Saya ada lebih 100 produk," katanya dan menambah, hasil jualan kesemua produknya mula mencapai lapan angka sebulan selepas hampir 10 tahun beliau berniaga.

Beliau yang kini turut melabur dalam pembikinan filem dan drama, serta beberapa bisnes sampingan, berkata tindakannya untuk menjadi model untuk produknya dan mencipta tagline serta penampilan 'bling-bling'nya adalah untuk menjual produknya, dan hasilnya amat menggalakkan.

Dr Vida juga berkata cabarannya dalam bidang perniagaan bukan sahaja berhadapan dengan sabotaj dan fitnah, malah produk tiruan, iaitu Pamoga, dihasilkan di Damansara dan berjaya merampas 40,000 produk tiruan itu, bersama-sama pihak berkuasa beberapa tahun lepas.

Beliau berkata semua itu tidak mematahkan semangatnya, walaupun beliau tahu ramai yang mencemuh terutama penampilannya, "biarlah, saya dah kebal. Mereka tak faham saya ...saya ada hala tuju sendiri ... kalau saya ikut kata-kata mereka, tak ke manalah saya," katanya yang menjadikan anak-anak sumber inspirasi untuk terus bekerja keras mencapai apa yang dihajati.

Bagi Dr Vida, cabaran paling getir apabila dua daripada empat anaknya maut dalam kebakaran di Ipoh beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2013.

Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 11, dan adiknya Muhammad Edrie Zikrie Mohd Amin, 10, serta pekerja syarikat Dr Vida, Muhammad Norsyamil Zaidi, 26, maut dalam kebakaran di rumah penginapan pekerja produk kecantikan Vida Beauty di Meru Hills, Bandar Meru Raya, Ipoh pada 9 malam, 3 Ogos 2013.

"Pada masa itu saya hampir- hampir tewas, tiap-tiap hari menangis, namun saya kuatkan semangat demi dua lagi anak saya," katanya.

Dr Vida berkata bagi mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan, terutama bagi yang tidak mempunyai modal, "Kalau ada RM10 buat meniaga cara RM10. Kalau ada RM100 buat bisnes yang sesuai dengan modal RM100".

Contohnya, dengan modal RM10, mereka boleh berniaga air minum dan keropok lekor, katanya dan turut mengingatkan peniaga supaya tidak mudah tergoda untuk berbelanja boros bila mendapat keuntungan. - Bernama

Share on Myspace