Sejarah: Cadang PAS bentuk kerjasama dengan DAP

HARAKAHDAILY | .

DATO' ASRI CADANG PAS BENTUK KERJASAMA DENGAN DAP (29 JANUARI 1981)

PADA hari ini dalam tahun 1981, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah melontarkan pandangan bahawa PAS boleh bekerjasama dengan DAP dalam menghadapi pengundi bukan Melayu sebagaimana PAS pernah menyertai BN sebelumnya (1974-1977) yang turut dianggotai parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC.

Pandangan Mohd Asri ini merupakan satu strategi politik PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1982.

Hakikat kepentingan pakatan politik dengan orang bukan Melayu telah disedari oleh PAS terutama selepas tragedi 13 Mei 1969 ekoran pertambahan mendadak rakyat bukan Melayu di negara ini selepas merdeka.

PAS telah menyertai Kerajaan Campuran dengan Perikatan pada 1973 dan membentuk BN pada 1 Jun 1974 yang turut disertai oleh parti-parti bukan Melayu seperti MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Walau bagaimanapun, cadangan Mohd Asri telah mendapat kritikan keras daripada pimpinan dan ahli PAS terutama di Kelantan dan Terengganu.

Yang paling lantang menentang kerjasama PAS dengan DAP ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menganggap kerjasama dengan DAP ini boleh memesongkan aqidah ahli-ahli PAS.

Dewan Pemuda PAS Pusat yang dipimpin oleh Cikgu Mustafa Ali turut menentang cadangan ini dan mendesak Mohd Asri meletakkan jawatan.

Di kalangan ahli-ahli PAS, tindak balas terhadap cadangan Mohd Asri ini bukan sahaja berlaku dalam bentuk tentangan, tetapi telah membawa kepada pencalonan Haji Yusof Rawa sebagai Yang Dipertua Agung PAS yang baru dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-27 kerana beliau berpegang bahawa PAS tidak patut bekerjasama dengan DAP.

Namun, Pak Yusof Rawa hanya bertanding jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS sahaja pada 1981 dan menang.

Ekoran respons negatif pimpinan dan ahli PAS ini, Mohd Asri telah mendedahkan bahawa PAS belum membuat sebarang rundingan dengan DAP dan PAS tiada niat bekerjasama dengan DAP.

Pun begitu, kenyataan Yang Dipertua Agung PAS pada 29 Januari 1981 ini telah menjadi sebab Muktamar Tahunan PAS pada 17-19 April 1981 meluluskan usul supaya PAS meluaskan dakwah kepada orang Cina yang akhirnya membawa kepada penubuhan Majlis Perunding Cina (CCC) pada awal 1986.

Mohd Asri sendiri dalam ucapan dasarnya telah berharap supaya PAS tidak bekerjasama dengan DAP kerana ia boleh menjadi modal politik BN.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
29 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 29/1/2016

Share on Myspace