TPPA daripada perspektif fiqh as-siyar

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

SEPERTI coretan saya sebelum ini, kedaulatan negara amat penting dan ia menjadi asas ukuran kepada hubungan perjanjian antara negara Islam dengan negara bukan Islam.

Kedaulatan bermaksud, segala tindakan negara Islam tidak boleh dikekang dan diikat dengan apa-apa perjanjian yang melayakkan negara Islam diambil tindakan atau perjanjian yang boleh menjadi sebab untuk diserang oleh negara lain.

Dalam kata lain, ia bukan bermakna negara Islam langsung tidak boleh membuat perjanjian dengan negara lain. Tetapi perjanjian itu mestilah menjamin kedaulatan negara dengan diletakkan klausa penting yang dikenali sebagai An-Nabz.

Dalam muamalat lebih dikenali sebagai fasakh atau pembatalan perjanjian. Pembatalan perjanjian atau An-Nabzu ini boleh berlaku dengan sebelah pihak sahaja, bukan dengan kedua-dua belah pihak mesti bersetuju.

Jika persetujuan kedua-dua belah pihak diperlukan, maka tiada makna An-Nabzu itu dimasukkan dalam mana-mana klausa perjanjian.

Ulama-ulama Islam banyak membahaskan hukum An-Nabzu ini justeru ia dinaskan asasnya di dalam Al-Quran Al-Karim di dalam surah Al-Anfal ayat 58:

وَإِمَّا تَخَافَن مِنْ قَوْم خِيَانَة فَانْبِذْ إِلَيْهِمْ عَلَى سَوَاء

Maksudnya: Dan jika engkau bimbang adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat. - (Al-Anfal : 58).

Perkataan على سواء memberikan maksud bahawa pihak Islam boleh membuat deklarasi membatalkan akad secara sebelah pihak. Ia tidak boleh dibuat pembatalan dengan senyap-senyap atau khianat dibalas dengan khianat.

Sememangnya perbahasan isu ini sangat panjang di dalam fiqh Islam. Cuma saya boleh ringkaskan bahawa, dalam perjanjian TPPA ini tidak terdapat klausa yang jelas bahawa bilakah Malaysia boleh berundur atau batalkan perjanjian TPPA?

Sekalipun ada pihak kata boleh keluar daripada perjanjian adalah keistimewaan khusus untuk Malaysia, tetapi di dalam klausa-klausa perjanjian yang ada tidak menyebut dengan jelas perkara ini.

Lebih membimbangkan ialah, kita sudah kalah dan boleh dihukum sewaktu proses untuk keluar daripada TPPA lagi justeru kos penghakiman yang tinggi dan bias sistem kehakiman yang akan mengadili kes ini jika berlaku.

Jika kebimbangan ini wujud, maka sepatutnya sedari awal malaysia tidak terlibat justeru dalam fiqh As-Siyar, jika kebimbangan itu wujud selepas perjanjian sekalipun, maka ia mesti difasakhkan, apatah lagi TTPA ini justeru banyak kebimbangan wujud sebelum perjanjian.

Kebimbangan sangat jelas justeru sikap Amerika memusuhi serta menjajah negara-negara Islam sebelum ini ditambah lagi lobi Zionis yang kuat terhadap pentadbiran Amerika Syarikat. – HARAKAHDAILY 29/1/2016

Share on Myspace