Peniaga Melayu di Jengka kesal premis tanpa elektrik

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

BANDAR TUN RAZAK JENGKA: Pihak Felda digesa tidak mempermainkan peniaga-peniaga yang terdiri daripada anak-anak peneroka yang memerlukan bekalan elektrik di premis mereka di sepanjang jalan utama ke Jengka.

Ini disebabkan setelah peniaga-peniaga berkenaan merujuk kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), mereka menyatakan enggan menyalurkan bekalan elektrik kerana tidak mendapat keizinan daripada pejabat tanah dan Felda.

Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) Ustaz Roslan Md Esa yang turut hadir berkata, sepatutnya masalah dipermudahkan kerana mereka merupakan anak-anak peneroka Felda di situ yang mengambil inisiatif memajukan ekonomi mereka selain boleh membuka peluang pekerjaan kepada yang lain.

“Mereka juga mampu berdikari dan berdaya saing kerana mengusahakan perniagaan tanpa bantuan kerajaan justeru sikap ini harus dipuji.

“Ini selaras dengan kepesatan kawasan Jengka sendiri dengan penduduk melebihi 100,000 yang berkembang maju dengan limpahan rezeki dan peluang ini mampu dihidu oleh mereka,” katanya.

Roslan berkata, pihaknya akan membawa masalah ini kepada pengurusan atau pihak atasan Felda.

“Pihak Generasi akan menemui peringkat atasan Felda dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah ini demi kebajikan generasi kedua dan ketiga Felda kerana kita tidak mahu sekiranya berlaku ‘double standard’ dalam perkara ini.

“Sebagai NGO, kita tidak menganggap Felda sebagai musuh kita malahan rakan yang menghubungkan agensi tersebut dengan warga peneroka,” jelasnya.

Dalau tinjauan dibuat, didapati deretan kedai di Jengka 18, Jengka 16 dan Jengka 14 tidak mempunyai bekalan elektrik menyebabkan pemilik premis terpaksa menggunakan enjin generator sebagai alternatif atau mendapatkan bekalan dari luar.

Namun yang menghairankan, premis-premis di simpang Felda Jengka 15 dan 13 yang selama ini mendapat jolokan ‘Cina town’, dibekalkan pula elektrik.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kuala Krau Shafie Mohd Isa, berkata pelbagai usaha dilakukan peniaga termasuk berjumpa Menteri Besar Pahang bagi menyelesaikan masalah mereka setelah para peniaga terlibat menemuinya namun sehingga kini belum selesai.

 “Kami diberitahu masalah permohonan-permohonan ini ‘sangkut’ di pejabat pengurusan Felda iaitu selepas Felda Global Venture Holding (FGV) mengambil alih tanah sejak dua tahun lepas.

“Malang, atas tanah penduduk sendiri pun tak dapat bekalan elektrik. Rumah-rumah baru di tepi jalan semua tak boleh masuk elektrik termasuk perumahan untuk Generasi kedua di Jengka 11 juga.

“Yang peliknya kandang lembu di Jengka 15 serta deretan kedai di Cina Town di simpang Jengka 14 tidak ada masalah pulak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/1/2016

Share on Myspace