Murid Tahun 6 korban terbaru denggi di Terengganu

BERNAMA | .

KUALA TERENGGANU: Seorang murid perempuan Tahun Enam menjadi korban terbaharu demam denggi di Terengganu, menjadikannya mangsa keenam yang meninggal dunia akibat wabak itu sejak 1 Jan lepas.
    
Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Seri Budiman 2 di sini berada dalam keadaan kritikal sejak empat hari lepas dan disahkan meninggal dunia pada pukul 1.20 tengah hari tadi.
    
"Ini adalah kematian ketiga yang membabitkan murid sekolah dan kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit.
    
"Kita sangat berharap semua pihak dapat mempertingkatkan usaha mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes dengan lebih agresif termasuk di persekitaran sekolah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini
    
Pagi semalam, seorang lelaki berusia 37 tahun dari Selangor juga meninggal dunia akibat denggi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) namun kes kematiannya direkodkan di Selangor memandangkan beliau dijangkiti di negeri itu.
        
Setakat ini, terdapat 37 lokaliti wabak dikenal pasti sebagai sangat membimbangkan daripada segi penularan demam denggi iaitu 24 di Kuala Terengganu diikuti Kuala Nerus (lapan), Besut (tiga) dan Dungun (dua).
    
Mengulas lanjut, Muhammad Pehimi berkata gotong royong secara bersepadu membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan akan diteruskan terutama di kawasan wabak.
    
"Mana-mana pemilik tanah dan premis di negeri ini yang membiarkan aset mereka menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes bakal dikenakan tindakan saman.
    
"Kerajaan negeri sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertindak drastik kepada mereka yang ingkar dengan mengeluarkan saman dan diharap ini akan membantu mengurangkan masalah demam denggi di Terengganu," katanya. - Bernama

Share on Myspace