Sejarah: PAS Kelantan lucut penggerak Kumpulan Islah

HARAKAHDAILY | .

PAS KELANTAN LUCUTKAN JAWATAN PENGGERAK KUMPULAN ISLAH (30 JANUARI 1990)

PADA hari ini dalam tahun 1990, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah bertindak melucutkan semua jawatan yang pegang oleh penggerak Kumpulan Islah, iaitu sekumpulan ahli PAS yang menentang kerjasama PAS dengan Semangat 46 (S46).

Kumpulan Islah ini wujud pada awal 1989 setelah PAS bersetuju membentuk kerjasama politik dengan serpihan Umno.

Sepanjang rundingan antara PAS dan S46 yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah, kumpulan ini telah beranggapan bahawa serpihan Umno ini sebagai kelompok yang sesat, sedangkan pemimpin PAS melihat mereka sebagai sasaran dakwah (mad'u) yang mempunyai potensi membantu PAS dalam politik.

Antara tokoh utama Kumpulan Islah ialah Ustaz Mohd Nor Idris dan Ustaz Mustapha Taib yang merupakan pimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat. Mereka berpegang bahawa kerjasama dengan S46 hanya melahirkan kemenangan tempelan, bukannya kemenangan sejati.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menegur sikap mereka yang mengkafirkan ahli-ahli Umno. Sedangkan Dewan Ulamak PAS membahagikan ahli Umno kepada tiga golongan.

Kelompok yang menolak hukum Islam secara sedar sahaja dianggap sesat kerana perbuatan mereka, sedangkan yang lain menjadi sasaran dakwah PAS.

Sebahagian ahli utama Kumpulan Islah adalah ahli-ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan iaitu Ustaz Mawardi Ahmad (Timbalan Pesuruhjaya), Sabri Mohamad (Setiausaha Perhubungan), Ustaz Ismail Noh (Bendahari) serta Ustaz Mustapha Taib, Ismail Abdullah dan Wan Daud Wan Jusoh sebagai Ahli Jawatankuasa Perhubungan.

Pada 26 Februari 1989, mereka telah diberikan amaran supaya menghentikan kegiatan ini atau mereka berhenti daripada Badan Perhubungan PAS Kelantan. Ekoran itu, dalam sesi 1989/1991, nama mereka telah digugurkan daripada badan tersebut.

Oleh kerana penentangan terbuka terus berlaku oleh Kumpulan Islah terhadap kerjasama PAS-APU, pada 7 Ogos 1989, satu pertemuan telah diadakan oleh mereka dengan Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Rusila, tetapi gagal meredakan keadaan. Sebaliknya mereka terus menentang PAS dengan mengadakan majlis di Bechah Mulong, Kota Bharu pada 17 Ogos 1989.

Setelah beberapa siri rundingan gagal, PAS Kelantan telah membuat laporan tatatertib terhadap 10 orang aktivis Kumpulan Islah iaitu Ustaz Mawardi Ahmad, Sabri Mohamad, Ustaz Ismail Noh, Ustaz Mohd Nor Idris, Ustaz Mustapha Taib, Ustaz Wan Ismail Ahmad, Ustaz Wan Daud Wan Jusoh, Ismail Abdullah, Kamarulzaman Ismail dan Mohamad Awang Mat.

Kesemua 10 orang ahli PAS ini telah diberikan surat tunjuk oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 5 November 1989, yang diikuti oleh pemecatan tiga daripada mereka iaitu Ustaz Mohd Nor Idris, Ustaz Wan Ismail Ahmad (Wan Semail Machang) dan Ustaz Wan Daud Wan Jusoh.

Untuk melicinkan perjalanan parti, PAS Kelantan pada 30 Januari 1990 telah melucutkan semua jawatan Sabri Mohamad, Ustaz Mustapha Taib dan Ustaz Ismail Noh dalam beberapa jawatankuasa peringkat Perhubungan PAS Negeri.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
30 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 30/1/2016

Share on Myspace