Persoalan baru dalam kemelut MB Kedah

SHAHBUDIN HUSIN | .

Rancangan menggugurkan Mukhriz Mahathir daripada jawatan Menteri Besar kini menimbulkan persoalan baru  berikutan Jemaah Pemangku Diraja Kedah dilaporkan ingin menemui kesemua 21 Adun BN negeri itu secara individu terlebih dahulu.

Pertemuan itu dikatakan akan diadakan pada Isnin (esok) untuk membolehkan Jemaah Pemangku Diraja Kedah menilai sama ada majoriti Adun bersetuju dengan rancangan menukar Mukhriz atau sebaliknya.

Mukhriz juga akan turut dipanggil, tetapi beliau akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Jemaah Pemangku Diraja Kedah.

Yang menimbulkan persoalan ialah mengapa Jemaah Pemangku Diraja Kedah ingin menemui kesemua 21 Adun BN itu?

Apakah ia semata-mata kerana Mukhriz enggan mengundurkan diri dan yakin sokongan masih berpihak kepadanya?

Jika begitu, apakah akaun bersumpah yang sudah dibuat oleh 19 daripada 21 Adun BN sebelum ini masih lagi tidak mencukupi atau ianya tidak begitu diyakini?

Apakah pertemuan Najib Razak dengan Jemaah Pemangku Diraja Kedah pada Jumaat lalu untuk maksud yang sama sambil mempersembahkan nama calon Menteri Besar yang baru, dianggap gagal dan menemui jalan buntu?

Apakah pertemuan pemimpin Umno Kedah dengan Najib di ibu pejabat Umno dan kemudian diikuti dengan pertemuan kedua antara Adun-Adun Kedah dengan Perdana Menteri serta sidang akhbar di Alor Setar yang diketuai oleh Ahmad Bashah minggu lalu, dianggap tidak bermakna apa-apa dan membuang masa saja?

Tidakkah permintaan untuk bertemu dengan Adun-Adun itu merupakan tanda tersirat bahawa Istana Kedah lebih mahukan Mukhriz terus dikekalkan memimpin negeri itu?

Apakah kesemua Adun yang sudah menandatangani akaun bersumpah itu terus kekal dengan pendirian mereka atau akan "goyang" apabila bercakap dan diminta berterus-terang secara individu di depan Jemaah Pemangku Diraja?

Mungkinkah juga Adun-Adun itu nanti akan diyakinkan untuk terus menerima Mukhriz demi kepentingan rakyat dan negeri Kedah secara keseluruhannya? - http://shahbudindotcom.blogspot.my/

Share on Myspace