Belum ada keputusan kursus digugur dari tajaan Mara

BERNAMA | .

KOTA MARUDU: Majlis Amanah Rakyat (Mara) masih belum memutuskan secara terperinci kursus pengajian yang akan 'digugurkan' daripada mendapat tajaan dalam penghantaran pelajar ke universiti di luar negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian dan Mara masih berbincang dan meneliti perkara itu termasuk pendekatan pengajian berkembar dengan universiti luar negara bagi pelajar tajaan Mara.

"Kita belum ada keputusan khusus (bidang pengajian yang akan dikurangkan). Bagaimanapun di peringkat awal, mungkin kita buat program berkembar iaitu dua tahun di luar negara dan dua tahun dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Kampung Tinangol di sini Ahad.

Turut hadir Timbalannya Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Umno Bahagian Kota Marudu, Datuk Wetrom @ Mohd Fikri Bahanda.

Semalam, Ismail Sabri berkata Mara akan mengkaji semula dasar penghantaran pelajar tajaannya ke luar negara bagi menyelaraskannya dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau ini.

Katanya menerusi dasar baharu itu nanti, hanya sebahagian pelajar terpilih sahaja akan dihantar belajar ke luar negara manakala selebihnya akan ditempatkan di universiti di negara ini. - Bernama

Share on Myspace