UniMara mula ambil pelajar Jun ini

BERNAMA | .

KOTA KINABALU: Universiti Majlis Amanah Rakyat (UniMara) akan memulakan pengambilan pelajar pada Jun tahun ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Untuk permulaan, sebanyak 200 pelajar akan diambil untuk universiti yang diwujudkan di bawah program Transformasi Luar Bandar itu," katanya ketika berucap pada Majlis Solidariti Kegemilangan Mara Sabah di sini Isnin malam.

UniMara yang bakal beroperasi tahun ini dan khusus untuk memberi akses pendidikan tinggi kepada anak penduduk luar bandar, akan memfokuskan kepada beberapa bidang antaranya sektor perniagaan, korporat, awam, politik dan teknologi.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Mara juga bakal mewujudkan banknya sendiri dan pihaknya akan berbincang dengan Bank Negara Malaysia mengenai penubuhan bank berkenaan.

"Kita belum memutuskan nama bank tersebut namun kita telah membuat persediaan dan perancangan mengenainya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar Mara dan usahawan di Sabah saling berganding bahu mencari idea untuk menghasilkan satu anjakan paradigma bagi memperkasakan keusahawanan secara inovatif dan kreatif.

"Saya percaya sekiranya semua pihak bekerjasama, hasilnya cukup hebat dan mampu menjadikan Malaysia berada di persada antarabangsa dalam bidang keusahawanan," katanya. - Bernama

Share on Myspace