Jabatan Amal Malaysia, bermula di Terengganu

HARAKAHDAILY | .

PENUBUHAN Unit Amal tercetus melalui daripada panduan kertas kerja induk oleh Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda PAS Pusat Sesi 1989/91. Kertas kerja tersebut kemudian disahkan oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat Kali Ke-4 pada 1 Julai 1989 yang bersetuju menggerakkan oleh satu unit tajaan terdiri daripada 12 anggota dari Terengganu yang mempunyai pelbagai pengalaman pasukan sukarelawan beruniform.

Majlis pelancaran Unit Amal (Kebajikan dan Rekreasi) telah diadakan pada 14 hingga 16 Februari 1991 bertempat di pantai peranginan Tok Jembal, Kuala Terengganu yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Unit Amal Pusat dengan kerjasama Unit Amal Terengganu.

Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Tuan Guru Harun Taib yang juga Ahli Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu pada masa itu. Jambori pertama kali itu telah berjaya mengumpulkan penyertaan seramai 851 anggota Unit Amal dari seluruh negeri.

Hussin Ismail yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Hussin telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Amal yang pertama. Pasukan ini kemudiannya diikuti oleh Penubuhan Unit Amal Nisa oleh Dewan Muslimat PAS Pusat. Bermula dari sinilah penubuhan Unit Amal di seluruh negeri dan kawasan dipertingkatkan.

Ketua Pengarah Unit Amal Kedua ialah Jamuliddin Ellias yang dipilih menerajui bagi sesi 2002-2005. Pelbagai kejayaan telah ditempa oleh Unit Amal Pusat selama tempoh tersebut terutamanya dalam memberikan khidmat kepada PAS di semua peringkat.

Bermula Julai 2005, Jamsari Marsom telah dipilih selaku Ketua Pengarah Ketiga menggantikan Jamuliddin yang telah melebihi umur Pemuda. Di bawah kepimpinan Salahudin Ayub selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, satu perubahan drastik dilakukan oleh Unit Amal Malaysia dengan menumpukan ‘engagement’ bersama masyarakat sesuai dengan misi dan visi baru DPPP.

Bermula Februari 2006, Unit Amal Malaysia telah dianugerahkan pakaian rasmi (uniform) baru berwarna merah terang yang lebih ceria sesuai dengan citarasa pemuda pada ketika ini. Majlis penyampaian penganugerahan pakaian rasmi ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Perdana Resort, Kota Bharu, Kelantan.

Pada tahun 2008, Briged Amal dan Kadet Amal mula ditubuhkan diperingkat sekolah-sekolah dengan dimulai penubuhannya di sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan ia semakin berkembang di seluruh negara.

Bermula tahun 2009, di bawah Ketua Pengarah Keempat, Johari Osman, Unit Amal Malaysia telah mengalami beberapa perubahan, antaranya naik taraf Unit Amal kepada Jabatan Amal Malaysia dan seterusnya pelancaran logo baru Jabatan Amal yang dipakai sehingga sekarang. Satu buku Panduan Kurikulum Amal turut diperkenalkan dan menjadi panduan kepada seluruh anggota Amal kini.

Tahun 2015 menyaksikan perubahan baru kepada Jabatan Amal Malaysia di bawah kepimpinan Mohd Nazree Mohd Aris selaku Ketua Pengarah Kelima. Jabatan Amal terus berkembang dengan baik di bawah pengendalian beliau menerusi pemerkasaaan seluruh gerak kerja melibatkan Kor-kor yang ada berdasarkan pembentukan struktur organisasi lebih tersusun bersesuian dengan visi dan misi penubuhan Jabatan Amal Malaysia.

Menyusuri 25 tahun penubuhannya, Jabatan Amal Malaysia telah berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang di pelbagai lapangan tugas yang diberi kepada jabatan tersebut sehingga diberi julukan oleh masyarakat sebagai “Tentera Merah”.

Pun begitu, kepimpinan Jabatan Amal Malaysia menafikan penggunaan julukan tersebut kerana ia adalah sebuah organisasi di bawah kepimpinan Dewan Pemuda PAS yang tidak mempunyai sebarang unsur ketenteraan baik dari segi tugasan, latihan dan kurikulumnya.

Selain tugas cemerlang Jabatan Amal dalam menjaga keselamatan majlis rasmi dan pimpinan PAS Negeri-negeri dan Pusat di seluruh Malaysia, pasukan ini juga telah mendapat kepercayaan dari masyarakat Malaysia.

Jabatan Amal telah berperanan dalam menjalankan agihan bantuan dan misi kemanusiaan di seluruh Malaysia seperti banjir di Johor, Pahang, Kelantan, Perak serta seluruh Malaysia. Malah pernah diberi amanah menjalankan tugas seumpama semasa bencana Tsunami di Aceh, Indonesia.  – HARAKAHDAILY 2/2/2016

 Disunting dan disusun semula oleh Izwan Abdul Halim

Share on Myspace