Selangor peruntuk RM72 juta tingkat kualiti jalan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor komited meningkatkan kualiti penyelenggaraan jalan di negeri itu demi memenuhi keperluan semua sejajar dengan hasratnya “Membangunkan SMART Selangor Yang Peduli”.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata RM72 juta diperuntukkan dengan mengambil inisiatif membuat penambahbaikan kontrak jangkaan panjang penyelenggaraan jalan negeri.

Katanya, kontrak terbabit bagi tempoh lima tahun bermula 1 Februari membabitkan pelantikan 45 kontraktor bagi penyelenggaraan jalan negeri di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) sejauh kira-kira 4,700 kilometer.

“Selepas pembentangan belanjawan, menerusi tema dinyatakan Kerajaan Negeri membuktikan dengan banyak diterjemahkan melalui manifestasi dalam bentuk tindakan dan program,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Surat Setuju Terima (SST) Untuk Kontrak Jangka Panjang penyelenggaraan jalan negeri Selangor di Shah Alam, semalam.

Beliau berkata, berbeza dengan sistem sebelumnya hanya kepada satu zon, penambahbaikan kontrak diguna pakai membabitkan sistem pembahagian kepada tiga zon iaitu Zon 1 bagi Sabak Bernam dan Kuala Selangor, Zon 2 (Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Klang) dan Zon 3 (Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat).

Penambahbaikan itu, katanya, juga meliputi skop kerja baru dan terperinci bagi memastikan penyelenggaraan jalan negeri dijalankan dengan baik.

“Dengan tiga zon ini kita dapat mengenal pasti dan membuat penilaian supaya semua kontraktor dilantik boleh bersaing secara sihat untuk menunjukkan prestasi terbaik.

“Semua mereka diberikan kontrak lima tahun dan sekiranya mempunyai rekod prestasi baik, kontrak mereka akan disambung dua tahun berikutnya,” katanya yang juga Adun Taman Templer.

Katanya, syarikat konsesi dan kontraktor dilantik perlu mematuhi piawaian prestasi dan skop kerja sebagaimana ditetapkan Kerajaan Negeri sebagai Petunjuka Prestasi Utama (KPI) kerana ini bagi memastikan kerja terbabit dalapt dilakukan dengan jaya.

“Kita tidak mahu ianya di atas kertas sahaja dan JKR diarahkan memastikan KPI ditetapkan dipatuhi kontraktor yang dilantik.

“Ini kerana kita serius, keluarkan belanjawan besar dengan skop kerja baru dan kita yakin dengan kontraktor dipilih tetapi sekiranya berlaku kecuaian atau ketidak amanah, kita tidak teragak-agak menamatkan kontrak mereka namun akan ada proses perlu dilalui,” katanya.

Share on Myspace