Menteri Mesir mahu 400,000 ahli Ikhwan dihukum mati

HARAKAHDAILY | .

Menteri Kehakiman Mesir, Ahmad Al-Zend, menyatakan bahawa dia tidak akan berehat sehingga ratusan ribu anggota Ikhwanul Muslimin dan penyokong mereka dibunuh.

Menteri rejim As-Sisi ini beralasan bahawa 400,000 anggota Ikhwanul Muslimin adalah pengganas yang harus dihukum mati dan bertanggungjawab atas kematian polis.

"Saya bersumpah demi Tuhan, api tidak akan padam dalam hati saya kecuali sekurang-kurangnya sepuluh ribu (anggota Ikhwanul Muslimin) dibunuh untuk setiap satu (tentera dan polis Mesir yang tewas)," kata bekas hakim mahkamah rayuan itu, seperti yang dilaporkan oleh Middle East Eye, Jumaat.

Katanya, bukan hanya mereka (anggota IM) tetapi mereka yang membantu mereka, mencintai mereka dan mereka yang menggunakan wang dari Turki, Qatar dan Iran.

Dia yang begitu membenci Ikhwanul Muslimin mengatakan bahawa dia akan mengundurkan diri dari jabatannya jika hukuman kematian para pemimpin Ikhwanul Muslimin yang dipenjara tidak dilaksanakan.

Zend bersumpah untuk memastikan hukuman mati terhadap bekas presiden Muhammad Mursi yang dipenjara dilaksanakan.

Mursi, yang digulingkan pada Julai 2013 dalam rampasan kuasa tentera, telah dijatuhi hukuman mati dengan tuduhan yang tidak berasas, iaitu berkaitan pembebasan tahanan selama revolusi 2011.

Sejak tokoh Ikhwanul Muslimin itu digulingkan daripada jawatan presiden oleh jeneral As-Sisi, ribuan penyokong Mursi telah dibunuh, puluhan ribu dipenjara, hampir semua tokoh IM kini dipenjara. (Eramuslim)

Share on Myspace