Lebih baik anak kecil menyusu berbanding...

AHMAD FADHLI SHAARI | .

LEBIH BAIK ANAK KECIL YANG MENYUSU BERBANDING ORANG TUA DERHAKA

SAYA dikatakan anak kecil yang masih menyusu. Marah benar orang yang menyerang saya itu sehingga kenyataan ditulis tidak kurang dua jam daripada kenyataan ringkas saya disiarkan oleh portal berita online.

Padahal saya hanya memberikan respon ringkas hasil kenyataannya yang terdahulu. Tanpa saya menulis apa-apa kenyataan sebagaimana biasa. Saya bukanlah mempunyai banyak masa terluang seperti beliau untuk menulis berjela-jela semata-mata inginkan perhatian.

Saya hanya minta beliau mengundurkan diri dari jawatan yang disandang. Baru selesa berforum di pentas berwarna apa sekalipun. Undur dari jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan yang Mesyuarat Badan Perhubungan tidak pernah beliau hadiri.

Undur daripada jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri yang beliau dipilih di atas tiket parti yang beliau sedang menyerangnya setiap hari. Itu sahaja. Undur dari kedua-dua posisi ini, lalu berpencak silatlah di atas pentas mana sekalipun, silakanlah. Sudah tentu bukan sebarang pentas bakal disediakan untuk seorang bekas ‘bakal Timbalan Perdana Menteri’.

Saya ditanya, jika saya berani kenapa tidak hadir mewakili Kerajaan Negeri di dalam forum berkenaan. Pelik, pertama saya tidak diundang. Kedua, jika saya diundang sekalipun, bukankah saya ada korum lain yang lebih sesuai untuk mendengar luahan hati beliau?

Bukankah ada Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan untuk beliau hadir melontarkan pandangan? Kenapa begitu susah hadir mesyuarat menyatakan pandangan walhal mengembara jauh serata dunia kelihatan amat senang untuk dilakukan?

Saya dikatakan tidak faham isu. Ya, bagaimana ingin faham jika tidak diberi faham. Berilah kefahaman itu di pentas yang sesuai dengan jawatan yang disandang. Jika benar ingin bersuara di luar, nah jalan terbuka luas terbentang. Pintu keluar tidak pernah dikunci.

Adapun sehari dua ini, saya dikaitkan dengan tohmahan salah guna kemudahan kenderaan kerajaan negeri. Saya berterima kasih kepada pihak yang telah membuat laporan kepada pihak berkuasa. Justeru, tidak perlu saya menghurai panjang, serahkan sahaja kepada pihak berkuasa.

Kenyataan saya tempoh hari sangatlah ringkas, namun saya dikatakan anak kecil yang masih menyusu. Boleh sahaja saya mencari bidalan lain untuk menyerang balas, tetapi tiadalah berfaedah sangat melayan orang yang kecewa.

Banyak cerita boleh ditulis, namun biarlah Allah SWT memutuskan yang terbaik. Adalah lebih baik menjadi anak yang menyusu berbanding menjadi orang tua yang derhaka kepada nenek moyang. Derhaka pula kerana gagal mendapatkan harta pusaka.

Tahun lepas, saya pernah menulis berhubung ‘anak derhaka’. Carilah dalam timbunan dunia internet ini dan anda pasti menjumpainya. Di hati kecil saya, saya mendoakan kebaikan kepada semua yang pernah bekerja mempertahankan kerajaan Kelantan semenjak tahun 1990. Di dunia mungkin kita berselisih bahu, biarlah di syurga kita berjumpa di bawah naungan-Nya.

Cuma pesan saya kepada anak-anak muda yang cintakan perjuangan Islam dan kerajaan Kelantan. Mempertahankan kerajaan ini ada harganya. Tiangnya tinggi, badainya kuat. Semakin tinggi kita menaikkan benderanya, semakin kuat badai datang bertiup.

Kehidupan peribadi, kerjaya, keluarga, pengajian bahkan apa jua yang berkaitan akan menjadi taruhan. Saya katakan, jangan setapakpun kita undur. Jika ada yang bertanya, sampai bila? Saya katakan, sehingga nyawa anda berpisah dari jasad!

Dugaan besar yang anda terima, doakanlah besar juga ganjaran yang menanti. Syaratnya, ikhlas. – HARAKAHDAILY 2/2/2016

Share on Myspace