Pertemuan dua hala PAS dan Tabung Haji

HARAKAHDAILY | .

Kunjungan ke Tabung Haji oleh PAS Pusat hari ini berlangsung dengan baik. Menerajui budaya politik matang dan sejahtera, PAS hadir untuk mendapatkan maklumat langsung dari pihak Tabung Haji sebelum memutuskan sikap di samping turut mengemukakan pandangan serta penambahbaikan kepada pihak Tabung Haji selepas pelbagai isu kontroversi melibatkan Tabung Haji tercetus.

PAS turut bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat sesuatu isu yang berkait rapat dengan kepentingan dan kebajikan umat Islam berdasarkan maklumat yang benar dan tepat.

Alhamdulillah, pertemuan dan perbincangan dua hala selama lebih dua jam ini sangat bermanfaat dan pihak PAS sungguh menghargai kesediaan Tabung Haji menerima kunjungan kami dan memberi penjelasan kepada rombongan. Tinggi harapan PAS agar institusi ini benar - benar dikendalikan secara profesional dan telus sekaligus menjaga kepentingan seluruh pendeposit yang terdiri daripada umat Islam.

Secara keseluruhannya penjelasan pihak Tabung Haji telah kami dengar dengan teliti dan insya Allah kami mengharapkan Tabung Haji dapat memberi penjelasan yang baik dan telus kepada seluruh rakyat selepas ini bagi merungkai polemik dan isu yang sedang menyelubungi Tabung Haji dewasa ini. Justeru besar juga harapan umum kepada institusi terbesar dan terpenting bagi umat Islam di Malaysia ini bebas dari perkara yang merosakkan reputasi dan prestasinya.

Bagi pihak PAS kita akan terus mengikuti dengan dekat segala isu yang berbangkit dan akan sentiasa mengadakan pertemuan bagi mendapatkan gambaran sebenar setiap isu yang berbangkit selaras dengan gagasan politik matang dan sejahtera.

Pertemuan hari ini menemukan dua pihak. Mewakili PAS terdiri daripada saya selaku Timbalan Presiden PAS, Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Ustaz Nasrudin Hassan, YB Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali at Takiri (Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat), Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Prof Zainal Abidin Kidam, Dr Rosni Adam (Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia), Kamaruzaman Mohamad (Pegawai Khas Presiden PAS) dan Nurul Islam Mohd Yusof (Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia).

Sementara pihak Tabung Haji terdiri daripada Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengarah Urusan Tabung Haji, Tan Sri Ismee Haji Ismail, Datuk Johan Abdullah (Timbalan Pengarah Urusan), Datuk Rozaida Omar (Ketua Pegawai Kewangan TH) dan beberapa orang pegawai kanan Tabung Haji yang lain.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
02 Februari 2016 / 23 Rabiul Akhir 1437 - HARAKAHDAILY 2/2/2016

Share on Myspace