Rumah RM300,000: Untungkan pembeli atau pemaju?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) berpandangan langkah Kerajaan mengehadkan penjualan projek perumahan baru berharga RM300 ribu kebawah kepada pembeli rumah pertama sahaja, harus dikaji dengan lebih mendalam sebelum ia dilaksanakan.

Ini bertujuan untuk mengelakkan pemaju yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga rumah baru melepasi harga RM300 ribu supaya mereka boleh menjual projek perumahan baru kepada pasaran terbuka (open market).

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, langkah Kerajaan mengehadkan harga jualan rumah baru kepada pembeli pertama pada kadar RM300 ribu secara saragam diseluruh negara, walaupun secara dasarnya nampak melindungi kepentingan rakyat, tetapi sekiranya tidak dilaksanakan dengan teliti, dibimbangi boleh menyebabkan harga rumah semakin meningkat.

“Tidak mustahil pemaju akan menaikkan harga jualan melepasi harga RM300 ribu untuk membolehkan mereka menjual kepada pasaran terbuka. Lebih-lebih lagi, tiada sebarang peruntukan di dalam mana-mana akta yang melarang mereka menaikkan harga rumah baru. Semuanya bergantung kepada faktor tawaran dan permintaan” katanya.

Salkukhairi berkata demikian ketika mengulas langkah kerajaan mengehadkan penjualan projek perumahan baru yang berharga RM300 ribu kebawah kepada pembeli pertama sahaja, selari dengan langkah pengubahsuaian bajet 2016 yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Salkukhairi berkata “Pada pandangan saya, tiada guna mengehadkan harga jualan sesuatu hartanah baru untuk pembeli pertama sahaja, sedangkan dalam masa yang sama pemaju masih bebas menaikkan harga rumah baru atas pilihan mereka sendiri. Ia ibarat satu langkah yang tiada kesudahan.”

“Sudah pasti Pemaju tidak mahu mengambil risiko kerugian dengan perlaksanaan langkah Kerajaan tersebut. Lebih malang lagi kita bimbang, hartanah diluar bandar juga akan dijual dengan harga melebihi RM300 ribu untuk membolehkan pemaju menjual rumah mereka kepada pasaran terbuka” tambah beliau lagi.

Hal ini kerana berkemungkinan pemaju merasakan adalah sukar untuk mencari pembeli pertama sahaja yang boleh membeli projek perumahan dengan harga di bawah RM300 ribu. Justeru itu, untuk mengelakkan kerugian, mereka terpaksa menaikkan harga hartanah tersebut melepasi harga RM300 ribu supaya boleh dijual kepada pasaran terbuka.

Salkukhairi juga berkata “Sepatutnya apa yang harus dilakukan oleh Kerajaan adalah menggubal satu akta khusus bagi melaksanakan harga siling untuk rumah-rumah baru mengikut lokasi dan tempat, bukannya sekadar mengehadkan penjualan rumah dengan harga-harga tertentu secara pukul rata diseluruh negara. Ia tidak dapat mengatasi masalah kenaikan harga rumah diperingkat akar umbi.

“Selepas penguatkuasaan harga siling dilaksanakan, Kerajaan disarankan agar mengenakan kadar cukai duti stem yang berbeza-beza kepada pembeli rumah bergantung kepada rumah keberapakah yang mereka beli. Misalnya, untuk hartanah pertama, pembeli dikenakan duti setem sebanyak 1% daripada harga jualan atau harga pasaran (yang mana lebih tinggi). Manakala untuk hartanah yang kedua dan seterusnya mungkin kadar duti stem boleh dinaikkan sehingga 3% atau 5% daripada harga jualan atau harga pasaran misalnya,” cadang beliau lagi.

Beliau perpandangan, pendekatan ini lebih adil dan mampu mengelakkan spekulator hartanah mengambil kesempatan dalam pasaran hartanah baru. Ia juga dapat melindungi kepentingan pembeli pertama sesuatu hartanah baru.

Justeru itu, Salkukhairi yang juga merupakan seorang peguam hartanah berpengalaman mendesak agar kerajaan mendapatkan pandangan pihak yang berkepentingan dalam bidang hartanah seperti HartaGuam sendiri sebelum mencadangkan sesuatu cadangan. Ini untuk mempastikan ia mampu melindungi kepentingan rakyat secara keseluruhan dan mampu memberi manfaat kepada kerajaan dalam jangka masa panjang. – HARAKAHDAILY 3/2/2016

Share on Myspace