Hudud dan PR, di manakah posisi kita?

HUZIR SULAIMAN | .

MENYALAHKAN Hudud punca pecahnya PR seolah-olah menghina serta menyalahkan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Kita tahu pendirian serta keutamaan yang diletakkan Almarhum Tuan Guru dalam soal Hudud.

Kita tahu Almarhum Tuan Guru sentiasa meletakkan dasar, prinsip serta matlamat perjuangan Islam yang dibawa PAS jauh lebih tinggi daripada hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Bukannya Almarhum Tuan Guru menolak Pakatan Rakyat tetapi Almarhum Tuan Guru tidak mahu dasar, prinsip serta matlamat Pakatan Rakyat jauh lebih tinggi daripada dasar, prinsip serta matlamat PAS.

Apabila Pakatan Rakyat menolak Hudud, Almarhum Tuan Guru tidak teragak-agak untuk menolak Pakatan Rakyat.

Kalau Umno selalu didesak Almarhum Tuan Guru untuk terima Islam sepenuhnya dalam urusan tadbir Negara, begitu juga harapan Almarhum Tuan Guru agar Pakatan Rakyat yang mahu mengambil alih Putrajaya daripada Umno/BN dapat juga mengambil Islam sepenuhnya dalam urusan tadbir mereka.

Tidak ada maknanya jika Pakatan Rakyat 'berUG' dengan Umno/BN dalam soal ini. Tanpa Islam sebagai panduan hidup manusia, misi untuk menyelamatkan rakyat tidak ada maknanya.

Almarhum Tuan Guru konsisten dalam soal ini.

Kita tahu Almarhum Tuan Guru sentiasa menjadi benteng pertahanan buat Tuan Guru Presiden PAS di akhir hayatnya malah menyeru kesemua ahli PAS untuk terus menyokong Tuan Guru Presiden.

Siapa yang tidak nampak keakraban Almarhum Tuan Guru dengan Tuan Guru Presiden PAS ketika mengharungi kemelut pertukaran MB Selangor. Pendirian mereka berdua sentiasa selari di sepanjang kemelut itu.

Kita tahu betapa sayangnya Tuan Guru Presiden pada Almarhum Tuan Guru. Dikucupinya dahi Almarhum Tuan Guru amalan Tuan Guru Presiden apabila bertemu. Siapa yang tidak nampak mata merah dan air mata di pipi Tuan Guru Presiden pada hari perginya Almarhum Tuan Guru. Hanya Allah sahaja yang tahu hati dan perasaan Tuan Guru Presiden PAS ketika itu.

Apabila Tuan Guru Presiden PAS bawa RUU pinda Akta 355 ke Parlimen, kita sokong. Malah Almarhum Tuan Guru seperti yang kita tahu sentiasa menyokong RUU yang berkaitan untuk dibentangkan di Parlimen. Berjaya atau tidak berjaya soal kedua. Almarhum Tuan Guru mahu kita terus cuba dan cuba sebab usaha ikhlas kita itu insya-Allah akan dinilai Allah.

Hidup ini pasti bertemu Mati. Kita kena pilih posisi kita sebelum dibangkitkan di akhirat nanti.

Menyalahkan Hudud punca pecahnya Pakatan Rakyat bermakna meletakkan PR jauh lebih tinggi daripada Hudud. Bermakna meletakkan PR jauh lebih tinggi daripada dasar, prinsip serta matlamat PAS.

Almarhum Tuan Guru tidak pernah buat kerja seperti itu. Kenapa mereka yang kecewa buat kerja yang tidak sesekali akan dibuat Almarhum Tuan Guru?

Apabila Pakatan Harapan ditubuhkan tanpa terma 'Setuju untuk tidak bersetuju', ini bermakna kebimbangan awal saya jauh sebelum muktamar lagi sudah bertukar dari sebuah gerak hati kepada realiti, dasar, prinsip serta matlamat Pakatan Harapan akan jauh lebih tinggi dari dasar, prinsip serta matlamat ke semua parti komponen dalam gabungan itu.

Rahmat kepada PAS di sebalik konflik PAS-DAP-PASMA-G18. Allah menetapkan aturannya, jauh daripada jangkaan akal manusia.

Apa gunanya parti komponen Pakatan Harapan terus kekal sebagai parti yang berbeza tetapi duduk dalam sebuah gabungan yang berkongsi dasar, prinsip serta matlamat yang sama walaupun realitinya setiap asas penubuhan parti masing-masing adalah berbeza?

Mereka berkompromi dengan dasar, prinsip serta matlamat mereka demi kuasa di Putrajaya? ibarat sanggup menjual isteri dan anak-anak untuk menyelamatkan rumah yang mereka sama-sama tinggal di dalamnya.

Bukankah ini yang Almarhum Tuan Guru tidak mahu? meletakkan asas penubuhan PAS jauh lebih rendah atau dipinggirkan terus daripada dasar, prinsip serta matlamat sebuah gabungan kerjasama politik.

Kalau PAS menolak gabungan dengan Umno kerana sikap mereka yang masih tidak mahu menjadikan Islam sepenuhnya sebagai panduan urus tadbir Negara, apa bezanya PAS untuk menerima tawaran gabungan dengan Pakatan Harapan yang secara jelas tidak akan berkompromi lagi dengan dasar, prinsip serta matlamat PAS.

Hari ini kita tahu kenapa pemimpin yang kecewa meninggalkan PAS dan sanggup bersama Pakatan Harapan dan kenapa kita masih terus istiqamah bersama PAS.

Sebab itulah tuduhan Hudud punca Pakatan Rakyat pecah satu pengkhianatan kepada Almarhum Tuan Guru.

Pakatan Rakyat tidak pecah kerana Hudud tetapi Pakatan Rakyat pecah kerana gabungan kerjasama politik itu tidak mahu lagi menghormati dasar, prinsip serta matlamat PAS yang sudah sekian lama diperjuangkan PAS semenjak lebih 60 tahun yang lalu.

Malah mereka yang kecewa itu juga mengkhianati dasar, prinsip serta matlamat PAS itu. Mengkhianati dasar, prinsip serta matlamat PAS itu, bermakna mereka juga mengkhianati Almarhum Tuan Guru.

Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz seperti juga Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Almarhum Tuan Guru Harun Taib, Almarhum Tuan Guru Yusof Rawa, Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, dan lain-lain, mereka pergi meninggalkan kita ketika mereka masih bersama PAS, ketika mereka masih istiqamah dengan dasar, prinsip serta matlamat PAS di penghujung usia mereka, sehingga nafas yang terakhir.

Insya-Allah kita akan cuba sedaya updaya untuk terus istiqamah seperti mereka sebab kita juga sangat sayangkan mereka.

Tidak seperti golongan yang kecewa. Terus Beristiqamah Sehingga Kemenangan. - HARAKAHDAILY 3/2/2016

Share on Myspace