Janji naik taraf Masjid Razaleigh disenyap

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Umno bahagian ini kelihatan bersungguh-sungguh mahu masjid baharu bernilai RM23 juta dibina di tapak bekas balai polis di bandar lama Gua Musang.

Sedangkan janji menaik taraf Masjid Razaleigh ketika kempen pilihan raya kecil Galas pada November 2010 seperti mahu disenyapkan.

Pada 8 Jun 2013 anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan memberitahu pembinaan masjid baharu di bandar lama akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Laporan berkenaan juga menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyerah cek RM3 juta ketika melawat lokasi tersebut sebelum ini.

Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Ustaz Abdullah Husain berkata projek masjid baharu kemungkinan dibangkitkan semula selepas penduduk menagih janji projek menaik taraf Masjid Razaleigh.

Katanya, kebelakangan ini nampak pemimpin Umno begitu bersungguh-sungguh mahu membina masjid baharu di tapak balai polis lama.

“Sedangkan kerajaan negeri sudah menyediakan tapak seluas lima ekar di Tanah Putih. Tapak itu juga telah dilawati pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

“Keperluan masjid di situ lebih mendesak kerana penduduk sekarang terpaksa menunaikan solat Jumaat di tempat yang agak jauh,” katanya di sini.

Lagi pun kata beliau tapak bekas balai polis terletak tidak jauh dari Masjid Razaleigh di bandar lama.

Pada akhir Disember lepas Adun Galas Ab Aziz Yusof dilapor memberitahu kerajaan pusat akan membina masjid baharu bernilai RM23 juta.

Menurutnya masjid tercantik di Kelantan itu akan dibina di tapak balai polis lama.

Penyelia Dun Galas, Ustaz Suhaimi Deris pula berkata masjid baharu di Tanah Putih lebih mendesak kerana penduduk di kawasan berkenaan sekarang terpaksa menunaikan solat Jumaat di tempat lain.

“Terdapat kira-kira 500 rumah penduduk di Tanah Putih, penempatan baru yang dibangunkan kerajaan negeri sejak 1990-an.

“Sekarang mereka terpaksa menunaikan solat Jumaat di Masjid Fa-iz Petra di bandar baharu atau Masjid Razaleigh yang terletak lebih 5 kilometer,” katanya.

Difahamkan hasil pendedahan Harakah mengenai janji membina masjid baharu bernilai RM3 juta di bandar lama Gua Musang baru-baru ini, dikatakan menimbul gelisah kalangan pemimpin Umno.

Malah ada kalangan mereka mengangggap pemimpin PAS Gua Musang mahu menjadi juara kerana membangkitkan isu tersebut. – HARAKAHDAILY 3/2/2016

Share on Myspace