Parlimen lulus usul TPPA bukan kehendak rakyat

MOHD NIZAM MAHSHAR | .

WALAUPUN Parlimen Malaysia sudahpun bersetuju dengan majoriti memilih untuk “menandatangani dan meratifikasi” Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Bantah TPPA ingin menegaskan sekali lagi bahawa kelulusan usul ini di Parlimen bukanlah berdasarkan kehendak rakyat, pandangan yang sepatutnya didengari oleh ahli parlimen.

Pada 27 Januari 2016, Dewan Rakyat telah mengundi usul TPPA dengan sebanyak 127 undi menyokong berbanding 84 undi menentang. Pada keesokan harinya, Dewan Negara juga telah mengambil langkah yang sama. Ini menjadikan dewan yang mulia ini hanyalah tempat untuk pengesahan sahaja tanpa melihat kesan perjanjian ini yang lebih teruk kepada rakyat Malaysia dan generasi masa hadapan.

Penjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), dijangka akan ditandatangani pada 4 Februari 2016 di New Zealand.

Walaupun Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa keputusan untuk menyertai perjanjian perdagangan bebas adalah hak mutlak kerajaan, namun keputusan untuk membahaskan TPPA ke Parlimen adalah berpunca daripada tekanan rakyat yang merasakannya ianya satu perjanjian yang tidak adil. Malah sehingga kini, tiada keputusan yang jelas untuk menandatangani TPPA memandangkan terdapat analisis lain yang bercanggah mengenainya.

Begitupun, peluang yang diberikan untuk membahaskan usul ini telah membantu ahli parlimen terutamanya daripada pembangkang memberikan hujah yang bernas dan disokong oleh fakta serta analisa bagi menyatakan Malaysia tidak patut menyertai TPPA.

Di antara perkara dikhuatiri adalah persoalan mengenai keuntungan ekonomi untuk Malaysia, sebagaimana yang dimaklumkan didalam kajian kos dan manfaat yang dibuat oleh PriceWaterhouse Coopers (PWC).

Laporan itu menjangkakan bahawa Malaysia akan mengalami ketidakseimbangan perdagangan hasil penyertaan di dalam TPPA. Malah, unjuran KDNK yang akan meningkat juga adalah hasil daripada andaian yang tidak munasabah yang realitinya tidak sama seperti yang terkandung di dalam teks TPPA.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat 24 bab bukan perdagangan di dalam TPPA seperti pengukuhan perlindungan harta intelek terhadap ubat-ubatan akan menyebabkan kemasukan ubat generik ke pasaran menjadi lebih sukar di samping mengakibatkan kebarangkalian harga ubat di Malaysia akan kekal mahal.

Hal yang sama turut boleh berlaku kepada bidang pendidikan, sekiranya tempoh perlindungan hakcipta dipanjangkan akan menyebabkan bahan untuk pendidikan akan kekal mahal dan sukar untuk dimiliki.

Di samping itu, Malaysia juga turut terdedah kepada tindakan saman berbilion ringgit melalui mekanisma Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur dan Negera (ISDS), sekiranya sebarang tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi menguntungkan rakyat, ditafsirkan sebagai merugikan oleh pihak pelabur.

Ini adalah sebahagian kesan yang terpaksa di tanggung oleh rakyat, terutamanya di dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada ketika ini.

Malangnya, kerajaan masih berkeras ingin meneruskan agenda TPPA dengan bersungguh-sungguh, tanpa memikirkan kesan negatifnya kepada rakyat.

Mengapa kerajaan perlu tergesa-gesa untuk menandatanganinya, sedangkan implikasi terhadap perjanjian yang kompleks ini masih lagi perlu diperhalusi?

Mengapa meminta Parlimen bersetuju untuk “meratifikasi” sedangkan kajian untuk melihat kesan pindaan tersebut masih belum dijalankan?

Lebih teruk, Malaysia akan terpaksa meminda perundangan negara semata-mata hanya ingin menjayakan TPPA berdasarkan kemahuan Amerika Syarikat, malah melebihi daripada jumlah 26 pemindaan perundangan yang dinyatakan oleh kerajaan.

Ini bermakna Amerika Syarikat akan meminta Malaysia mengubal dengan sangat terperinci seperti mana yang mereka mahukan, sehingga mengganggu polisi dan perundangan negara sama seperti yang telah mereka lakukan terhadap negara lain di dalam perjanjian perdagangan bebas yang hampir sama.

Bantah TPPA sekali lagi ingin mengingatkan bahawa keputusan Parlimen untuk “menandatangani dan ratifikasi” TPPA adalah bercanggahan dengan roh demokrasi sebenar. Oleh itu, sebarang langkah bagi menandatangani TPPA oleh Kerajaan Malaysia pada 4hb Februari 2016 di New Zealand bukanlah di atas kehendak rakyat.

Bantah TPPA sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia tidak perlu untuk memilih jalan yang penuh dengan berliku ini. Ianya masih tidak terlewat untuk melakukan perkara yang betul demi kebaikan rakyat Malaysia.

Bantah TPPA akan terus meneruskan kempen serta bantahan terhadap TPPA. - HARAKAHDAILY 3/2/2016

Penulis ialah Pengerusi Bantah TPPA.

Share on Myspace