Mukhriz Mahathir: Pandangan Pertama Mei 2013

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

SAYA bertemu kali pertama dan melihat Mukhriz Mahathir (MM) secara dekat sewaktu dia mengunjungi Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak (UAR). Peristiwa itu terjadi di Unit Rawatan Rapi Kedah Medical Center (KMC) sebaik sahaja MM selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-11. Waktunya lebih kurang jam 3 .15 petang, 6 Mei 2013.

Pemergian UAR ke Hospital Besar P. Pinang ditangguhkan atas permintaan MM untuk beliau datang menziarah. Jadual asal ke Penang sekitar jam 2.00 petang. Sementara menunggu saya berbual panjang dengan UAR berkaitan situasi politik semasa - Saya telah menulisnya dalam - Aku Dan Ustaz Azizan: Catatan Kehilangan.

MM hadir berbaju melayu hitam, belum sampai 1 jam bergelar YAB Menteri Besar. Dia diiringi Sharil Rizal Ismail, polis pengiring yang sama mengiringi UAR semasa menjadi MB. Baru semalam Shahril berpisah dengan UAR, hari ini meneruskan tugasnya dengan bos baru.

Shahril bersalam dan mencium dahi UAR selepas MM melepaskan tangannya. Saya sebak mengenangkan keakraban Shahril dengan UAR selama 5 tahun. MM melihat sahaja pengiringnya itu menyantuni bekas majikannya. Inilah dunia politik, ada polis yang 'terjebak' di dalamnya kerana tugas kepolisan seperti Shahril, lalu membina keakraban.

MM dan UAR berbual mesra, dalam 'budaya tinggi' dua orang pemimpin dari kem yang saling bertentangan. Seorang sedang pergi, seorang baru datang. Penuh adab sopan, saling menghormati, saling merendah diri dan memuji, berpesan dan menasihati.

MM lebih muda, dia lebih banyak mendengar, mempamerkan wajah simpati di samping cuba menceriakan suasana. UAR sedang terbaring, meluahkan harapan dan berpesan tentang gagasannya untuk rakyat dan negeri yang belum dapat diselesaikan. Mereka bijak memimpin 'peralihan' antara mereka berdua.

Dia tidak sombong, sangat sopan (polite) menyantuni 'orang tua' di depannya yang sedang menerima rawatan. Wataknya jauh berbeza ketika saling bergelut dalam medan politik. Saya memandang, mendengar, belajar dan mengingat, mengutip ilmu dari pengalaman.

"Ok lah Sanusi. Jaga Ustaz elok-elok. Jika perlu apa-apa yang boleh saya tolong, jangan segan-segan hubungi saya. Apa-apa perkembangan nanti tolong bagitau saya. Nombor saya minta dekat Shahril". Mereka pun berlalu. – HARAKAHDAILY 3/2/2016

Share on Myspace