Sejarah: PAS tolak kerjasama dengan DAP

HARAKAHDAILY | .

PAS TOLAK KERJASAMA DENGAN DAP WALAUPUN MEMBENTUK PAKATAN DENGAN S46 (4 FEBUARI 1990)

PADA hari ini dalam tahun 1990, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan bahawa PAS tidak terbabit dalam kerjasama politik yang dibentuk antara S46 dengan DAP menjelang Pilihan Raya Umum 1990.

Tindakan S46 mengadakan hubungan serentak dengan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan DAP menerusi Gagasan Rakyat (GR) adalah strategi presidennya, Tengku Razaliegh Hamzah untuk membolehkan pembangkang menguasai Malaysia dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan.

Isu kerjasama PAS-DAP telah timbul ekoran kenyataan Tengku Razaliegh pada 9 Disember 1989 tentang hubungan antara S46 dengan DAP sehingga memungkinkan PAS memutuskan hubungan dengan S46 atas sebab perbezaan dasar, terutama DAP yang menolak Negara Islam.

Ekoran  itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin S46 dan membayangkan bahawa PAS mengkaji semula hubungan kedua-dua parti jika S46 meneruskan hasrat membentuk pakatan politik dengan DAP.

Di pihak PAS sendiri wujud tentangan hebat terhadap S46 kerana bekerjasama dengan DAP, terutama Kumpulan Islah di Kelantan, PAS Kuala Selangor dan PAS Parit Buntar di Perak.

Pihak Umno pula mengambil kesempatan menuduh PAS bekerjasama dengan DAP melalui S46 semasa Pilihan Raya Kecil Dun Pantai Merdeka pada 24 Mac 1990. Bendahari PAS Pusat, Cikgu Mustafa Ali sebaliknya menyatakan bahawa PAS akan membuat kajian hukum dan implikasi politik berkait kerjasama PAS-DAP ini, kerana PAS tidak mahu dikaitkan dengan DAP.

Menyedari konflik yang timbul inilah, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 10 Januari 1990 memutuskan untuk tidak mengkaji semula hubungan dengan S46 atas alasan parti itu berhak berkawan dengan sesiapa sahaja, tetapi PAS menasihati S46 supaya tidak terlalu terbuka dalam hubungan dengan DAP demi menjaga sensitiviti orang Melayu.

Ustaz Fadzil Mohd Noor pada 4 Februari 1990 telah mempertegaskan pendirian PAS ini kepada umum bahawa PAS tiada hubungan dengan DAP, sebaliknya S46 berhak terhadap dalam hubungan tersebut.

Berlanjutan daripada itu, pada 12 Mei 1990, sebuah jawatankuasa yang dibentuk oleh PAS untuk mengkaji tahaluf siasi telah merumuskan keharusan hukum untuk PAS bertahaluf dengan DAP dalam isu kemanusiaan dan memberikan fokus kepada musuh yang sama.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
4 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 4/2/2016

Share on Myspace