4 Februari 2016, Malaysia dijajah semula

HARAKAHDAILY | .

KAMI bertegas ini adalah pemeterian perjanjian yang mengikat Malaysia yang berimplikasi besar kepada kedaulatan negara untuk menentukan masa depannya. Selepas 58 tahun merdeka , pemimpin kerajaan telah merelakan diri untuk kembali menyerahkan masa depan negara kepada kuasa luar atas nama perdagangan alias menyerah negara untuk dijajah semula.

Dengan satu pena, tandatangan wakil Malaysia iatu Menteri MITI, akan dilakar diatas dokumen TPPA, maka masa depan negara terpaksa pasrah kepada sebuah atur permainan perdagangan dunia yang mendedahkan negara kepada dominasi syarikat gergasi dunia dari negara asing.

Selain Malaysia sudah memeterai puluhan perjanjian perdagangan dalam bentuk unilateral dan multilateral, TPPA merupakan perjanjian yang paling mengikat negara dalam hampir semua aspek pembangunan.

Kerajaan sering menafikan bahawa Malaysia akan menanggung mudharat yang lebih besar daripada manfaat, akan tetapi pihak yang bersungguh menyokong TPPA tidak menafikan bahawa dasar dan perundangan negara kini akan terikat kepada klausa dalam TPPA. Malah mulai 4 Februari 2016, dalam tempoh dua tahun, puluhan undang-undang yang digubal dan dilulus di Parlimen dan Dewan Negara serta Dewan Undangan Negeri perlu dipinda untuk diselaraskan agar menjadi mesra TPPA  (TPPA Compliant).

Kini negara akan menjadi sasaran organisasi korporat gergasi dari negara maju seperti Jepun, AS, Kanada, Australia, Singapura dan New Zealand.

Alasan yang kerap diputarkan kepada rakyat dalam media massa adalah, TPPA akan memberi peluang negara menarik pelabur, peluang mengujudkan pekerjaan dan potensi perdagangan Malaysia luar negara yang lebih luas. Akan tetapi andaian ini tidak semuanya pasti. Ia sangat bergantung kepada keadaan ekonomi dunia.

Jelas yang menjadi keghairahan kerajaan adalah andaian untuk mengejar peluang agar tidak ketinggalan. Padahal semua yang dibentangkan kepada kepada rakyat hanya andaian dan harapan. Tidak diambilkira, ketika perjanjian TPPA ini akan dimeterai, kelembapan ekonomi dunia yang sedia ada, memberi risiko besar kepada Malaysia.

Semua andaian dan unjuran manfaat yang dikatakan bakal diterima dari TPPA hanya akan menjadi impian yang tidak berpijak dibumi nyata, jika ekonomi terus tidak pulih atau tidak kembali kepada status sebelum harga komoditi dan minyak menjunam.

Malangnya dalam ketidaktentuan ekonomi ini pula Malaysia merelakan diri untuk mengikat negara dalam sebuah perjanjian yang akan merongkai pelbagai perlindungan yang dimiliki untuk membenarkan syarikat luar mendominasi pasaran domestik.

Jika menarik diri dari sekarang sudah terlambat, kami tetap akan mendesak agar tidak ada pindaan kepada undang-undang negara dilakukan oleh kerajaan disebabkan TPPA ditandatangani.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Pengerusi Kongres Rakyat – HARAKAHDAILY 4/2/2016

Share on Myspace