Tiada halangan penceramah luar berdakwah di Selangor

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tiada halangan bagi penceramah dan cendekiawan agama dari luar untuk berdakwah kepada masyarakat di Selangor dengan syarat memiliki tauliah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan  Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, kerajaan negeri menekankan kelayakan seseorang penceramah supaya fahamannya tidak bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, ia susulan hal ehwal agama Islam teletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri terutama raja atau sultan.

“Kita perlu memberi peluang kepada penceramah atau cendekiawan agama dari luar tidak kira dalam negara mahupun luar untuk menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat.

“Tidak dinafikan di sesebuah negeri memang ada ramai penceramah, tetapi tidak salah memberi peluang kepada ahli agama dari luar untuk menyebarkan ilmu pengetahuan,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka kepada penceramah tempatan dan luar, namun tapisan tertentu akan dijalankan supaya fahaman pihak terbabit tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada orang ramai.

Kenyataan beliau itu susulan isu 16 penceramah luar tidak dibenarkan berceramah di Johor termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

Media melaporkan, Exco Agama Johor, Abdul Mutalip Abdul Rahim berkata, ramai individu di negeri itu pakar berkenaan agama dan masyarakat Islam di Johor tidak memerlukan orang luar untuk menjadi penceramah.

Share on Myspace