PAS Sarawak serah nama calon kepada Pusat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Senarai calon PAS yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak telah diserahkan kepada PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS negeri sudah memuktamadkan nama-nama calon yang akan bertanding dalam pilihan raya itu nanti.     

"Saya pun sudah dimaklumkan nama calon yang akan bertanding, tapi tidak boleh bagitahulah. Negeri sudah hantar nama kepada Majlis Syura akan mesyuarat Februari ini untuk diluluskan dari segi kelayakan calon tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, Majlis Syura Ulamak akan memutuskan nama-nama yang layak bertanding dan sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan PAS akan umumkan mereka yang bertanding pada bila-bila masa sahaja.

"Calon-calon yang dipilih ini sudah bergerak (bekerja) sekian lama malah mereka tahu mereka antara nama yang dipilih," katanya ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan, calon-calon yang disenaraikan adalah seratus peratus anak Sarawak antaranya seorang calon dalam kalangan muslimat dan seorang calon bukan Islam.

Dari segi jentera pilihan raya, menurut Mustafa, ianya sudah digerakkan di semua peringkat sama ada kawasan mahupun di negeri.

"Pilihan raya Sarawak kaedah bekerja seperti kita bekerja dalam pilihan raya kecil semua negeri akan turun bantu dan terlibat termasuklah di peringkat Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat," katanya.

Terdahulu, PAS bersedia meletakkan calon di 11 kerusi pada PRN kali ini iaitu 9 daripada kerusi itu merupakan kawasan lama Dun Sarawak, manakala baki 2 lagi kerusi merupakan kawasan baharu Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dun di negeri ini.

Dalam pengumuman sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mencadangkan supaya penamaan calon bagi pilihan raya negeri diadakan pada 18 April dan pengundian pada 20 April.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian sebaik sahaja Dun dibubarkan. - HARAKAHDAILY 4/2/2016

Share on Myspace