PAS gesa Mayor baru Kota Kinabalu utamakan rakyat

HARAKAHDAILY | .

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah pada Datuk Yeo Boon Hai atas perlantikannya sebagai Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang baru. PAS berharap Datuk Yeo akan terus memimpin DBKK ke arah kecemerlangan dan mesra rakyat.

PAS melihat Kota Kinabalu berkembang secara pesat dari segi fizikal dan infrastruktur. Cuma yang banyak menjadi persoalan kepada masyarakat dan pengguna adalah soal kualiti terhadap setiap elemen pembangunan yang dilaksanakan.

PAS Sabah memahami terdapat banyak agensi yang terlibat dalam menjalankan aktiviti pembangunan di Kota Kinabalu. Walau bagaimanapun, kami yakin DBKK mempunyai bidang kuasa yang lebih besar berbanding agensi lain. PAS Ingin mencadangkan beberapa perkara:

Pertama; Pembinaan gerai jualan yang lebih sempurna untuk keperluan masyarakat. PAS melihat  terdapat kecenderungan yang agak ketara terhadap aktiviti perniagaan dan keusahawanan dalam masyarakat. Sebahagian mereka terpaksa mendirikan gerai-gerai kecil di tepi-tepi jalan. PAS melihat ini satu kecenderungan yang amat baik. Cuma pihak DBKK perlu menyediakan tempat khas yang lebih sempurna dan menampung lebih ramai peniaga kecil dan usahawan.

Kedua; DBKK perlu perbanyakkan program yang berasaskan keilmuwan dan pembangunan sahsiah masyarakat. PAS mencadangkan DBKK boleh menjemput parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan untuk bekerjasama bagi membincangkan perkara berkaitan kemasyarakatan, kesedaran dan pembangunan masyarakat. PAS yakin kerjasama sebegini akan melahirkan natijah yang positif. Dalam hal ini PAS bersedia pada bila-bila masa bekerjasama dengan pihak DBKK.

Ketiga; PAS melihat pihak DBKK perlu menaik taraf dan menambah baik kualiti surau-surau di kawasan komersil dan taman-taman rekreasi. Terdapat surau di kawasan pusat membeli belah yang berada di kawasan letak kereta yang agak jauh dan boleh membahayakan keselamatan pengguna.

Begitu juga dengan taman-taman rekreasi. Kami mendapati taman-taman rekreasi tidak disediakan kemudahan surau atau tempat beribadah. PAS berkeyakinan penuh, masyarakat yang patuh kepada Tuhan mereka akan mempunyai sahsiah dan moral yang baik.

Keempat; PAS melihat beberapa kawasan utama di Kota Kinabalu perlu dibina jejantas untuk keselamatan pengguna dan masyarakat. Kesan pertambahan penduduk dan perumahan di kawasan Kota Kinabalu menyebabkan keperluan mengubahsuai struktur jalan semakin penting.

Sering kali kelihatan pengguna jalannraya yang terpaksa melintas jalan dalam keadaan yang merbahaya. Sebagai contoh beberapa kawasan seperti di Universiti Apartment dan Universiti Condo Apartment Jalan Sepanggar yang sudah beberapa kali menyebabkan kemalangan.

PAS Sabah berharap, Mayor yang baru akan terus berusaha kearah menjadikan DBKK melaksanakan pembangunan dengan meletakkan keperluan masyarakat sebagai keutamaan yang paling tinggi.
Sekian.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS SabahHARAKAHDAILY 4/2/2016

Share on Myspace