Beras percuma: BN tiru kerajaan Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Selepas hampir tujuh tahun skim bantuan beras percuma (al-It’am) dilaksanakan di Kelantan, akhirnya program itu turut ditiru kerajaan Barisan Nasional (BN).

Skim bantuan beras untuk rakyat termiskin dilaksanakan di Dun Wakaf Bharu bermula Jun 2010. Kemudian pada Febuari 2011 program itu diperluaskan ke seluruh Dun di Kelantan.

Setiap penduduk miskin menerima bantuan beras sebanyak 10 kg setiap bulan. Sehingga sekarang lebih 4,500 penduduk miskin mendapat manfaat tersebut.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Md Ashaari Mamat berkata beliau pernah melaksanakan program bantuan beras di Dun Kok Lanas bermula 1995.

Katanya selama empat tahun program tersebut dilaksanakan di Kok Lanas atas inisiatif sendiri bagi membantu penduduk miskin.

“Alhamdulillah program itu dijadikan agenda kerajaan negeri bermula 2011 selepas berjaya dilaksanakan di Kok Lanas dan Wakaf Bharu.

“Kerajaan Kelantan melaksanakan program terbabit bukan kerana kegawatan ekonomi seperti yang berlaku sekarang sebaliknya melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah negeri berkebajikan,” katanya di sini.

Baru-baru ini kerajaan BN mengumumkan pemberian beras melalui program MyBeras kepada 200,000 penduduk miskin tegar setiap bulan.

MyBeras berkenaan dikatakan akan diagih bermula 1 Mac depan. – HARAKAHDAILY 4/2/2016

Share on Myspace