Mukhriz Mahathir: Pandangan kali kedua

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

SELEPAS sehari semalam di Hospital Besar P. Pinang, saya dan keluarga UAR dimaklumkan KDYMM YDP Agong berkenan segera menziarahi mantan Menteri Besar baginda itu. Rombongan DiRaja itu tiba selepas maghrib, UAR telah tidak sedarkan diri, ditempatkan di ICU.

Baginda diiringi oleh Datuk Seri Paduka Mukhriz Mahathir (MM) dan pegawai-pegawai negeri, para doktor pakar, pegawai Istana Negara. Turut serta ialah mantan MB Kedah ke-9 (MK) pada ketika itu memenangi kerusi Parlimen Padang Terap.

Diiringi doktor pakar, Seri Paduka YDP Agong dan MM berdiri di sisi katil UAR memerhati dan merenung UAR dibungkus selimut tebal, saluran pernafasan, wayar alatan perubatan berselirat di hidung, mulut dan sekitar tubuhnya .

Tetamu lain berdiri memandang dari luar pintu, suasana sunyi sepi. Tokoh besar negeri berjasa itu bersabung nyawa. Nampak kerisauan dan kesedihan di wajah baginda.

Sebelum mereka beredar MM menyapa saya sekali lagi - KALI KEDUA - menenangkan kegelisahan, dia berpesan lagi untuk menghubunginya jika ada apa-apa perkembangan. Saya ucap terima kasih kepadanya.

Esoknya saya dimaklumkan Kerajaan Kedah menyediakan penginapan kepada keluarga UAR (dan kami) di kediaman Rumah Kerajaan Kedah Pulau Pinang (Istana Kedah) yang terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah.

Hampir 100 hari rumah itu didiami keluarga UAR dengan ehsan kerajaan negeri. Daripada seorang jeneral perang yang baru menewaskan pasukan lawan, MM dan kemanusiaannya yang kaya, menzahirkan belas ehsan dari tampuk kuasanya.

Sepanjang empat bulan itu, lebih daripada lima kali MM datang berziarah, ada ketika mengiringi KDYMM YDP Agong, YTM Tengku Bendahara (Almarhum) dan rombongan DiRaja, Timbalan Perdana Menteri dan ada kalanya secara pribadi. Memandang, merenung, bersimpati dan berlalu pergi. Saya rasa dia juga mengutip pengalaman daripada ziarahnya itu.

Kali terakhir berjumpa di HSB, MM mengiringi TSMY menziarahi UAR. Saya menyapanya "Datuk... tak aci marah laa naaa... saya menulis macam-macam mengkritik tindakan Umno memunggah hasil kerja Ustaz Azizan. Ada kalanya saya hentam Datuk".

MM ketawa, senyum panjang seperti biasa dilihat dalam gambar-gambarnya. "Sama-sama lah kita. Saya tak paa, dunia politik saya fahamlah". Dia pun masuk ke kereta.

Politik memerlukan pandangan kedua, bukan pandangan kali kedua. – HARAKAHDAILY 4/2/2016

Share on Myspace