Transformasi Parlimen: Perkukuh institusi semak, imbang k'jaan

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyatakan sokongan terhadap transformasi Parlimen yang telah mendapat pandangan bernas daripada tokoh-tokoh akademik terutamanya melalui Persidangan Speaker dan Pegawai Dewan Negara Komanwel ke-23 yang berlangsung minggu lalu.

Ia merupakan suatu langkah yang bukan sahaja memulihkan kepercayaan terhadap institusi Parlimen, malah memperkukuhkan serta memperkemaskan lagi keberadaannya dalam perlaksanaan sistem demokrasi di negara ini.

Di sebalik gesaan terhadap transformasi Parlimen ini, perkara yang perlu diberi perhatian adalah mengenai institusi semak dan imbang yang penting bagi meningkatkan kecekapan dan menjamin integriti kerajaan sebagai pemegang amanah dalam menguruskan hal ehwal negara.

Meskipun kerajaan mempunyai mekanisme semak dan imbang yang terdiri daripada institusi Parlimen itu sendiri, Jawatankuasa Audit Awam dan Jabatan Audit Negara, namun, ia hanya bersifat menilai kedudukan akhir kewangan dan tidak mempunyai kuasa untuk menilai perjalanan keseluruhan aspek kewangan negara.

Keadaan ini telah menyebabkan aspek ketirisan, pembaziran dan kelemahan dalam pengurusan kewangan kerajaan sekadar menghiasi laporan tahunan Ketua Audit Negara dan tiada pencegahan mampu dilakukan.

DPPM menggesa agar institusi semak dan imbang ini diperhalusi peranannya supaya ia mempunyai kuasa khas untuk meneliti setiap perjalanan kewangan di samping mempunyai capaian yang lebih mendalam terhadap urusan kewangan pihak kerajaan.

Ini merupakan suatu langkah bagi memastikan kerajaan bersikap ‘transparent’ dalam melaksanakan tugasnya dan dalam masa yang sama, masalah ketirisan dan pembaziran dapat ditangani dengan lebih effisyen.

Tambahan lagi, pemusatan kuasa yang diberikan kepada Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan juga sangat terdedah kepada penyelewengan dan salah guna kuasa.

Akta yang berada di bawah Kementerian Kewangan dianggap terlalu meluas melibatkan Akta Tatacara Kewangan 1957, Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 (Akta 406), Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 (Akta 403), Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (Akta 498) dan akta-akta yang lain mencecah 24 akta kesemuanya.

Maka, dengan akta yang begitu banyak melibatkan satu kementerian, ditambah pula Perdana Menteri sebagai Menteri yang bertanggungjawab, adakah unsur penyelewengan dan salah guna kuasa dapat dibendung daripada berlaku?

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUH AZIZ
Ketua DPPM / Ahli Parlimen Pasir Mas - HARAKAHDAILY 5/2/2016

Share on Myspace